Sinar Harian
TELUK INTAN – Tindakan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah stor haram yang beroperasi di premis kediaman di sini pada Isnin berjaya menemukan 450 kilogram (kg) minyak masak paket yang mahu dijual kepada warga asing.Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi kira-kira jam 11 pagi menerusi Ops Tiris itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu di sekitar daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah 450 kg minyak masak paket 1 kg pelbagai jenama yang disyaki disimpan tanpa kebenaran."Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 tahun yang mengaku sebagai penyewa premis memaklumkan bekalan minyak masak tersebut adalah untuk dijual semula kepada pelanggan sekitar, termasuk penghuni rumah kongsi di kawasan pembinaan."Bagaimanapun, individu terbabit gagal mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki dan berurusan dengan barang kawalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Kamalludin berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta beberapa dokumen berkaitan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM55,125.Katanya, lelaki warga Bangladesh terbabit direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran.Tambah beliau, siasatan lanjut turut dijalankan terhadap pembekal yang disyaki menjual minyak masak paket kepada warga asing di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026.Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran aduan rasmi KPDN.
Go to News Site