Sinar Harian
PASIR MAS – Taktik licik seorang wanita warga Thailand menyeludup minyak masak bersubsidi dengan menyembunyikannya di ruang simpanan tayar gantian terbongkar dalam satu operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, Ahad.Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, wanita berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi Ops Tiris yang dijalankan KPDN Cawangan Pasir Mas pada jam 2.15 petang.Menurutnya, suspek menggunakan pas sempadan dan dipercayai cuba membawa keluar barang kawalan ke negara jiran menggunakan kenderaan persendirian berpendaftaran asing."Pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Mazda 2 bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu suspek menemukan sebanyak 51 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM15,127.50."Lebih mengejutkan, kesemua minyak masak itu disorok secara tersusun di bawah pelapik ruang simpanan tayar di bahagian bonet kenderaan, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak dikesan ketika pemeriksaan di pintu sempadan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala semua barangan kawalan berkenaan turut dirampas.Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti sumber bekalan minyak masak bersubsidi yang diperoleh suspek, selain mengesan kemungkinan wujud rangkaian pembekal tempatan."Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak, termasuk pemborong dan peruncit, yang didapati bersekongkol dalam penyelewengan subsidi," katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2022.
Go to News Site