Collector
KDNK Malaysia diunjur berkembang 4 hingga 5 peratus pada 2026 - BNM | Collector
KDNK Malaysia diunjur berkembang 4 hingga 5 peratus pada 2026 - BNM
Sinar Harian

KDNK Malaysia diunjur berkembang 4 hingga 5 peratus pada 2026 - BNM

SHAH ALAM – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang antara empat hingga lima peratus pada 2026 dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, peningkatan realisasi pelaburan, pertumbuhan eksport berterusan serta prestasi pelancongan stabil.Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia memasuki tahun 2026 dengan asas ekonomi kukuh, dipacu permintaan domestik, inflasi sederhana serta sistem kewangan yang teguh meskipun berdepan persekitaran global tidak menentu."Dari sudut pemacu pertumbuhan, perbelanjaan isi rumah kekal sebagai tonggak utama. Prospek pendapatan adalah positif, disokong oleh peningkatan pendapatan yang berterusan."Pasaran buruh juga kekal stabil, dengan kadar pengangguran dijangka berada berhampiran paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu sekitar 2.9 peratus. Pada masa sama, pelbagai dasar bersasar terus dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan," katanya pada sidang media Dialog Tahunan BNM di Sasana Kijang, Kuala Lumpur pada Selasa.Tambahnya, sektor luaran pula dijangka kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan daripada konflik Timur Tengah serta ketidaktentuan berkaitan tarif perdagangan."Bagi pelaburan, perkembangan adalah menggalakkan apabila kelulusan pelaburan meningkat kepada RM427 bilion pada tahun 2025 manakala kadar pelaksanaan projek pembuatan kekal tinggi sekitar 85 peratus."Dasar yang jelas, insentif pelaburan, pelbagai rantaian bekalan infrastruktur kukuh serta tenaga kerja berkemahiran tinggi terus menjadi faktor tarikan utama pelabur. Pengembangan kapasiti sektor swasta kini semakin rancak, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E)," katanya.Beliau berkata, kemajuan di bawah pelan induk nasional serta pelaburan awam berskala besar termasuk dalam tenaga boleh baharu dan pengangkutan akan terus memperkukuh kapasiti produktif negara pada masa hadapan."Dari segi perdagangan, pertumbuhan eksport sebenar dijangka sederhana pada kadar 2.8 peratus berikutan persekitaran luaran yang mencabar."Namun, Malaysia mempunyai asas eksport pelbagai tanpa kebergantungan kepada satu pasaran sahaja."Negara juga mengeksport pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan daripada komoditi hingga perkhidmatan berteknologi tinggi."Peningkatan pelaburan pusat data turut menyokong eksport perkhidmatan ICT serta memberi kesan limpahan kepada sektor lain," jelasnya.Menurutnya, sektor E&E negara pada kedudukan baik dan dijangka mendapat manfaat daripada permintaan kukuh terhadap semikonduktor khususnya dalam menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan pusat data yang sedang direalisasikan."Jika dilihat dari sudut kemajuan industri E&E, negara memainkan peranan penting dalam rantaian nilai global. Malaysia membekalkan komponen penting lain seperti cip kuasa, transceiver optik dan penyambung berkelajuan tinggi."Malaysia juga terus mengukuhkan keupayaan dalam aktiviti pembungkusan maju serta segmen huluan sekali gus memastikan daya saing kekal mampan melangkaui kitaran semasa industri E&E," katanya.Beliau berkata, selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sektor pelancongan dijangka terus menyokong prestasi luaran."Tahun lalu, industri pelancongan berjaya menukar defisit akaun perkhidmatan selama 14 tahun kepada lebihan."Momentum ini dijangka berterusan dengan peningkatan ketibaan pelancong terutama dari rantau Asia yang akan merangsang sektor runcit, pengangkutan dan hospitaliti," katanya.Abdul Rasheed bagaimanapun berpandangan bahawa perkembangan di Timur Tengah berpotensi menjadi risiko penurunan kepada unjuran ini."Bagi inflasi, kadar inflasi keseluruhan dijangka berada antara 1.5 hingga 2.5 peratus pada tahun 2026. Walaupun kos global kekal tidak menentu, inflasi teras dijangka stabil seiring permintaan domestik yang konsisten serta aktiviti ekonomi berterusan."Dasar monetari pula akan terus memberi tumpuan kepada kestabilan harga di samping memastikan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mampan. Langkah dasar domestik akan membantu mengawal kesan limpahan kenaikan kos global terhadap harga dalam negara," katanya.

Go to News Site