Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga di selatan Lubnan.Arahan ini selaras dengan ketetapan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan memandang serius perkembangan terkini situasi keselamatan di selatan Lubnan susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam melibatkan pasukan pengaman UNIFIL, termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta insiden letupan Peranti Letupan Terubah Suai (IED) yang melibatkan kontinjen Indonesia (INDOBATT)."Insiden-insiden tersebut telah mengorbankan anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius kepada beberapa yang lain."Kementerian Pertahanan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, Malaysia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Jelasnya, tahap keselamatan turut dipertingkatkan kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan situasi semasa di selatan Lubnan."Langkah ini merangkumi pematuhan berterusan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), pengukuhan pelaksanaan Peraturan Penglibatan (ROE), pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah perlindungan pasukan (force protection) serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara," ujarnya.Katanya, pada masa ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat."Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan."Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL," ujarnya.Media sebelum ini melaporkan dua anggota pengaman warga Indonesia terbunuh di selatan Lubnan ketika pertempuran antara Israel dan Hizbullah semakin memuncak.UNIFIL memaklumkan, dua anggota pengaman warga Indonesia terbunuh apabila satu letupan yang tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka.Dua lagi anggota cedera dan seorang daripada mereka dilaporkan parah.
Go to News Site