Collector
Pemuda Pas tuntut PM jawab dua dakwaan berkait isu Azam, Farhash | Collector
Pemuda Pas tuntut PM jawab dua dakwaan berkait isu Azam, Farhash
Sinar Harian

Pemuda Pas tuntut PM jawab dua dakwaan berkait isu Azam, Farhash

SHAH ALAM - Pemuda Pas menuntut penjelasan terbuka dan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dua dakwaan besar dikaitkan dengan beliau yang menimbulkan persoalan terhadap integriti serta ketelusan pentadbiran negara.Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, pertama ia melibatkan dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa wujud campur tangan Perdana Menteri dalam urusan siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap ahli perniagaan yang juga bekas setiausaha politik beliau, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.Menurutnya, jika dakwaan tersebut benar, ia merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa politik dalam proses siasatan."Dakwaan kedua pula merujuk kepada laporan Bloomberg yang mendedahkan Perdana Menteri didakwa menggesa agar laporan siasatan terhadap pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan kepada umum buat masa ini."Tindakan sedemikian menimbulkan persepsi bahawa ketelusan dikorbankan demi kepentingan politik, khususnya dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, lebih membimbangkan, kedua-dua dakwaan berkenaan saling berkait dengan spekulasi yang semakin meluas berhubung kemungkinan jaringan kepentingan melibatkan Azam dan Farhash dalam urus niaga tender kerajaan berskala besar termasuk transaksi melibatkan Velocity Capital Partners Bhd dan MMAG Holdings Bhd.Malah, berkait kontroversi 'mafia korporat' yang melibatkan SPRM, tegasnya, spekulasi awam turut memalitkan nama Azam dan Farhash sebagai aktor yang terlibat."Walaupun tiada bukti muktamad setakat ini, kegagalan memberikan penjelasan tuntas hanya menguatkan lagi persepsi negatif rakyat."Pemuda Pas juga mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil oleh pihak Perdana Menteri terhadap Rafizi dan Bloomberg meskipun telah beberapa kali membuat dakwaan berat sebegini."Ketiadaan tindakan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada dakwaan tersebut mempunyai asas yang tidak boleh dinafikan atau wujud keengganan untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan," ujarnya.Justeru, Mohd Hafez berkata, pihaknya turut mendesak supaya pendedahan penuh laporan siasatan berkaitan Azam dibuat kepada umum tanpa sebarang penangguhan.Selain itu, katanya, Pemuda Pas menuntut supaya ditubuhkan badan siasatan bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan isu tersebut secara telus."Kerajaan juga perlu beri jaminan bahawa tiada campur tangan politik dalam mana-mana siasatan melibatkan institusi penguatkuasaan negara. Rakyat berhak mengetahui kebenaran."Negara ini mesti ditadbir berasaskan doktrin pengasingan kuasa yang kukuh, sementara politik kepartian dan kepentingan individu tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri pentadbiran institusi kerajaan," kata beliau.Tambahnya lagi, kerajaan juga tidak boleh membiarkan persepsi liar terus berlegar tanpa penjelasan, sebaliknya wajib memastikan persekitaran maklumat awam dibina atas prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Go to News Site