Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Dua wanita dan seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki memuat naik kandungan berunsur hasutan, fitnah serta menghina agama Islam dan institusi negara menerusi aplikasi TikTok.Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video dimuat naik pemilik akaun 'ratunurputribalqis' kira-kira jam 5 petang, Ahad lalu,Menurut beliau, kandungan video tersebut didakwa mengandungi unsur hasutan, fitnah serta penghinaan terhadap agama Islam, Perdana Menteri Malaysia, Institusi Diraja Johor, institusi agama dan Ketua Polis Johor."Antara kandungan video itu termasuk dakwaan bahawa Sultan Johor, Tengku Mahkota Johor dan Perdana Menteri mendapatkan nasihat daripada individu berkenaan, selain memfitnah Sultan Johor menyimpan dokumen pengenalannya serta membuat tuduhan terhadap Jabatan Agama Islam Negeri Johor terlibat salah laku dan rasuah."Video tersebut juga menyatakan solat fardu akan kembali kepada dua rakaat dan solat sunat satu rakaat," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.Menurut Ab Rahaman, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menahan ketiga-tiga suspek di Taman Saujana di sini pada Selasa.Katanya, hasil semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atas semua suspek adalah negatif.Polis turut membuat beberapa rampasan bagi membantu siasatan."Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 49 tahun itu direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April bagi membantu siasatan."Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya lagi.Polis Johor turut memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara serta menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Go to News Site