Sinar Harian
SHAH ALAM - Peningkatan jumlah kenderaan yang ingin mengisi petrol di beberapa stesen minyak sekitar Seksyen 18 di sini disifatkan sebagai luar biasa berikutan orang ramai mahu memaksimumkan penggunaan kuota BUDI95 sebanyak 300 liter yang berakhir pada Selasa.Pekerja stesen minyak, Nur Aryana Artiqah Mohd Rozaman, 19, berkata, kehadiran pelanggan mula meningkat seawal jam 5 petang."Kebiasaannya waktu petang tidaklah sibuk, tetapi waktu orang pulang dari kerja hari ini menyaksikan peningkatan pelanggan yang mengisi minyak di sini."Peningkatan itu tidaklah melibatkan kesesakan dan tiada yang menunggu lama, semua datang secara berperingkat sehinggalah jam 10 malam," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.Seorang juruwang yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, ramai pelanggan memilih mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 dengan tangki penuh."Pada awalnya saya pelik mengapa hari ini ramai pelanggan mengisi minyak dari petang hingga malam tanpa henti."Selepas pelanggan memberitahu bahawa subsidi minyak diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter, barulah saya faham," katanya.Pada Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan subsidi minyak daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berikutan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak dan ekonomi dunia ketika ini.Penyelarasan baharu itu bermula 1 April sehingga bekalan RON95 kembali pulih.Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan harga bahan api tersebut pada kadar RM1.99 seliter.
Go to News Site