Collector
Dua murid cedera dalam kemalangan babitkan enam kenderaan | Collector
Dua murid cedera dalam kemalangan babitkan enam kenderaan
Sinar Harian

Dua murid cedera dalam kemalangan babitkan enam kenderaan

KAMPAR – Dua kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah, Malim Nawar di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.42 petang di Kilometer 4, Jalan Kuala Dipang–Malim Nawar.Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan lima buah kereta dan sebuah motosikal yang dipandu serta ditunggang individu berusia antara 19 hingga 59 tahun."Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu wanita berusia 31 tahun bersama dua kanak-kanak keluar dari bahu jalan di hadapan sekolah berkenaan untuk bergerak ke arah Pekan Malim Nawar."Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Proton Satria yang datang dari arah bertentangan dipercayai gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh bahagian hadapan kenderaan tersebut hingga terbalik," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Mohamad Nazri berkata, dalam kejadian sama, Proton Satria itu turut melanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang wanita berusia 19 tahun sehingga mangsa tercampak ke tengah jalan.Jelasnya, kemalangan itu turut menyebabkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi tidak sempat mengelak lalu terlibat dalam pelanggaran berantai.Menurutnya, dua kanak-kanak berusia tujuh dan lima tahun yang merupakan penumpang kereta Perodua Viva mengalami kecederaan ringan di kepala manakala pemandu kenderaan itu hanya mengadu sakit di bahagian dada dan lutut.Katanya, penunggang motosikal pula mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kiri dan tulang pinggul kanan serta kini menerima rawatan di hospital."Siasatan lanjut mendapati punca kemalangan dipercayai disebabkan daripada pemandu Proton Satria yang gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan."Pemerhatian awal mendapati tiada bau alkohol pada nafas pemandu, namun ujian lanjut termasuk ujian air kencing dan kandungan alkohol dalam darah masih dijalankan," jelasnya.Mohamad Nazri turut menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan kejadian kemalangan terbabit disebabkan pemandu mabuk kerana siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.Jelasnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar atau balai polis berhampiran.Terdahulu menerusi hantaran di Facebook oleh Naib Ketua Pemuda Pas Kampar, Abdul Hadi Azman mendakwa kononnya kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu mabuk.

Go to News Site