Collector
Semua agensi tidak terkecuali daripada siasatan | Collector
Semua agensi tidak terkecuali daripada siasatan
Sinar Harian

Semua agensi tidak terkecuali daripada siasatan

PUTRAJAYA – Tiada lagi agensi yang boleh dikecualikan daripada siasatan apabila Ombudsman Malaysia ditubuhkan kelak, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar.Beliau menegaskan, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang akan menjadi teras utama institusi baharu itu bagi memastikan setiap entiti yang mengurus dana awam tertakluk kepada pemantauan."Tidak ada pengecualian. Selagi ia menerima peruntukan atau kontrak kerajaan, agensi itu tertakluk kepada Ombudsman Malaysia," katanya dalam satu temu bual khas baru-baru ini.Menurut beliau, pendekatan tersebut berbeza dengan kerangka sedia ada di bawah Akta 700 yang masih memberikan pengecualian kepada beberapa agensi tertentu.Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap keadilan dalam pelaksanaan penguatkuasaan."Semua orang adalah sama di sisi undang- undang," tegas beliau.Ismail berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia kini berada pada peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Parlimen seawal Jun tahun ini.Sekiranya diluluskan, katanya, pelaksanaan akan dimulakan secara berperingkat dengan tahun 2027 menjadi fasa awal operasi."RUU Ombudsman Malaysia ini lebih baik daripada Akta 700 sedia ada yang mana terdapat banyak agensi yang diberikan pengecualian, namun di bawah Ombudsman Malaysia, prinsip kesamarataan di sisi undang- undang akan dijulang sepenuhnya," ujarnya.Pada Disember tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia bagi mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, perubahan yang diperkenalkan bukan sekadar melibatkan penjenamaan semula, sebaliknya merangkumi penambahbaikan menyeluruh dari segi kandungan dan kuasa.Antara fokus utama ialah memperkukuh keupayaan siasatan agar tindakan tidak lagi terhenti pada peringkat cadangan."Keputusan EAIC tidak mengikat. Jadi, itu yang menyebabkan pada mulanya, kita memikirkan sesuatu perlu dilakukan dengan akta," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, struktur baharu itu dijangka akan menggabungkan fungsi EAIC dan Biro Pengaduan Awam bagi mewujudkan satu badan yang lebih komprehensif.Menurutnya, gabungan tersebut membolehkan isu salah laku dan salah tadbir ditangani dalam satu platform yang lebih tersusun.Dalam masa sama, beliau menjelaskan Ombudsman tidak akan mengambil alih sepenuhnya peranan agensi, sebaliknya bertindak apabila berlaku kegagalan dalam pelaksanaan tindakan."Kalau agensi itu tidak membuat apa yang sepatutnya perlu dibuat, maka barulah Ombudsman akan melaksanakan campur tangan," katanya.

Go to News Site