Sinar Harian
IPOH – Kewujudan Pusat Jagaan Kanak-kanak Iman di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kepayang di sini bukan sahaja memberi ketenangan kepada ibu bapa malah membantu meringankan beban kewangan mereka.Bagi seorang penduduk, Nur Shakirah Raja Mohammad, 29, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan itu kerana lebih selamat dan yakin dengan tahap kualiti penjagaan yang disediakan.Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa menghantar ke rumah individu dengan bayaran tidak tetap, selain bimbang terhadap keselamatan anaknya."Sekarang saya hanya membayar RM250 sebulan berbanding sebelum ini, ia mencecah RM350 termasuk makan. Bezanya di sini saya rasa lebih selamat, kalau ada apa-apa masalah, cikgu akan terus menghubungi ibu bapa."Jika menghantar anak ke rumah individu, saya memang risau. Kini saya lebih tenang untuk pergi kerja," katanya yang bekerja di sebuah kilang di Klebang di sini.Tambahnya, kemudahan pusat jagaan yang disediakan dalam kawasan PPR itu juga memudahkan urusan harian selain menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada perkembangan anak."Anak saya juga selesa, tidak pernah merungut. Dia ada kawan-kawan dan dilihat lebih berkembang berbanding jika hanya duduk seorang di rumah," ujarnya.Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng berkata, penubuhan pusat jagaan tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.Menurutnya, kemudahan itu memberi fokus kepada kebajikan kanak-kanak serta membantu ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah yang bekerja."Kebanyakan penduduk PPR berdepan keperluan mendesak terhadap penjagaan kanak-kanak yang selamat dan berpatutan. Sebelum ini ada yang terpaksa tinggalkan anak bersendirian atau dihantar ke rumah jiran dalam keadaan kurang selesa."Pusat ini menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan kadar lebih rendah berbanding pasaran sekali gus meringankan beban keluarga B40," katanya.Beliau berkata, pusat berkenaan mampu menampung sehingga 23 kanak-kanak berusia antara empat hingga 10 tahun dan beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang.Menurutnya, inisiatif itu juga mencerminkan pendekatan pembangunan holistik kerajaan negeri yang bukan hanya menumpukan kepada penyediaan kediaman, tetapi turut membina ekosistem komuniti yang menyokong perkembangan kanak-kanak dan memperkasa institusi keluarga.Kemudahan yang disediakan kerajaan negeri itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diimpikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan menekankan kesejahteraan sosial dan peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan asas serta program komuniti yang inklusif.Menerusi pelan berkenaan LPHP diberi tanggungjawab bersama beberapa agensi lain dalam menjayakan Flagship kedua iaitu Perumahan Sejahtera.
Go to News Site