Sinar Harian
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 65 tangkapan dan 379 pertuduhan pada tahun lalu hasil maklumat yang disalurkan pegawainya yang ditempatkan Unit Integriti (UI) agensi awam serta Unit Integriti dan Governans (IGU).Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, maklumat yang disalurkan ialah sepanjang tahun 2024 dan 2025.Menurutnya, SPRM terus memperkukuh peranannya dalam penguatkuasaan membanteras rasuah melalui penyaluran maklumat strategik oleh pegawai yang ditempatkan di UI dan IGU."Sebanyak 104 maklumat telah disalurkan melalui Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM sepanjang tahun lalu untuk tindakan lanjut."Ini sekali gus mencatatkan peningkatan 0.9 peratus berbanding 96 maklumat pada 2024," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, ia mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik serta komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).Sebelum itu, Azmi telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai SPRM Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 37 Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.Kata Azmi, seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, Perdana Menteri turut menekankan keperluan memperkasa peranan Unit Integriti di semua agensi kerajaan sebagai benteng utama dalam membanteras rasuah."Berdasarkan rekod sehingga 31 Mac 2026, seramai 100 pegawai SPRM telah ditempatkan di UI dan IGU, melibatkan 92 pegawai di UI agensi awam serta lapan pegawai di IGU syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus memperluas peranan pengawasan dan pencegahan di pelbagai sektor strategik negara," ujarnya.Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pegawai yang ditempatkan di agensi luar agar sentiasa memelihara tatakelakuan dan disiplin, selaras dengan amanah yang dipertanggungjawabkan.Selain itu, pegawai UI dan IGU juga diseru untuk memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan pemantauan secara berterusan termasuk Laporan SPRM (LSPRM) serta syor khidmat nasihat agensi di bawah seliaan yang dijadikan agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) sebagai langkah pengukuhan tadbir urus.
Go to News Site