Collector
Rasuah dalam agensi sudah jadi sindiket | Collector
Rasuah dalam agensi sudah jadi sindiket
Sinar Harian

Rasuah dalam agensi sudah jadi sindiket

PUTRAJAYA – Amalan rasuah dalam sesetengah agensi penguatkuasaan didakwa bukan lagi melibatkan individu semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi kegiatan berunsur sindiket yang berakar dalam sistem.Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, dapatan siasatan terhadap beberapa agensi menunjukkan wujudnya masalah serius yang melibatkan struktur organisasi.Menurut beliau, apa yang berlaku di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar misalnya bukan kes terpencil, sebaliknya melibatkan beberapa kes lain sebelum ini."Saya melihat dua agensi ini sebagai masalah integriti dan rasuah yang meresap ke dalam sistem," katanya dalam temu bual khas bersama media baru-baru ini.Beliau berkata, hasil pemerhatian mendapati terdapat kelemahan struktur yang memerlukan pembaikan menyeluruh terhadap sistem dan prosedur operasi standard (SOP).Katanya, penambahbaikan tidak boleh dilakukan secara 'kosmetik' atau sekadar pemindahan pegawai, sebaliknya perlu melibatkan perubahan keseluruhan."Bukan ditambah baik sekadar memindah sana sini, tetapi keseluruhan perlu diubah," katanya.Mengulas lanjut, Ismail menegaskan bahawa SOP sedia ada sebenarnya mencukupi, namun kegagalan mematuhi prosedur menjadi punca utama kelemahan.Sebagai contoh, beliau membangkitkan isu dalam kes JIM yang melibatkan penyalahgunaan kuasa berkaitan visa perubatan."Macam mana seorang pegawai itu boleh bawa cop keluar... itu satu benda (kesalahan) yang berat. Kalau ada SOP tetapi tak ikut, itu jadi masalah," katanya.Menurut beliau, keadaan itu mencerminkan kegagalan kawalan dalaman yang tidak sepatutnya berlaku dalam agensi penguatkuasaan.Lebih membimbangkan, katanya, salah laku tersebut bukan dilakukan secara bersendirian tetapi melibatkan kumpulan dalam organisasi yang boleh dikatakan sebagai sindiket.Beliau berkata, kewujudan rangkaian dalaman itu menunjukkan berlaku elemen saling melindungi dalam kalangan pelaku."Seolah-olah macam awak lindungi saya, saya lindungi awak," katanya.Menurutnya, situasi tersebut menjadikan perbuatan rasuah seakan-akan normal dan sukar dibendung."Cari duit secara haram itu sudah jadi budaya," jelas beliau.Ismail menegaskan, keadaan itu berpunca daripada masalah struktur yang perlu ditangani secara menyeluruh bermula dari peringkat atasan.Beliau turut menekankan kepentingan komitmen kepimpinan dalam memastikan tindakan diambil terhadap salah laku yang berlaku.Katanya, setiap peringkat termasuk menteri, ketua setiausaha (KSU) dan ketua jabatan mempunyai peranan dalam memastikan sistem semak dan imbang berfungsi."Kalau berlaku pada ketua pengarah dan KSU tak ambil tindakan atau menteri tak ambil tindakan, itu satu yang menyedihkan," ujarnya.Tambah beliau, kegagalan bertindak hanya akan menyebabkan masalah berulang dan berpanjangan.Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa institusi boleh rosak dari dalam sekiranya integriti tidak dijadikan budaya dalam organisasi.Menurut beliau, kesan akhirnya akan dirasai oleh rakyat yang mula mempersoalkan keupayaan kerajaan dalam mengurus tadbir negara.Sehubungan itu, beliau menegaskan isu integriti perlu dilihat dari sudut kepentingan negara secara menyeluruh."Kita sudah cakap pasal integriti dan sebagainya sejak sekian lama tetapi kenapa masih berlaku ini? Kenapa masih teruk lagi? Sekarang ini pun setting-setting, kontena terbang masih berlaku lagi?" soalnya.Mengulas punca, beliau berpandangan masalah tersebut tidak berkait dengan faktor gaji, sebaliknya dipengaruhi gaya hidup."Sekarang semua hendak hidup mewah, tunjukkan di media sosial dan sebagainya."Tetapi akibatnya itu tahu tak? Sebab itu saya suka sebut perkara yang berlaku ini adalah satu rompakan di agensi itu sendiri," ujarnya.Katanya, keadaan menjadi lebih parah apabila perbuatan itu dilindungi sehingga tidak lagi menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelaku.Dalam konteks lebih luas, beliau turut membangkitkan kemungkinan wujud tindakan undang-undang oleh rakyat pada masa hadapan jika salah guna dana awam terus berlaku."Sebagai pembayar cukai adakah saya boleh saman kementerian itu? Sekarang tak boleh, tetapi tidak mustahil satu hari nanti rakyat akan menuntut hak tersebut sekiranya kepentingan mereka terus terjejas," katanya.

Go to News Site