Sinar Harian
KUANTAN - Sebanyak 16.263 kilogram dadah disyaki kokain bernilai RM7.31 juta ditemui terdampar di pesisir Pantai Tanjung Gosong, Tanjung Selangor, Pekan pada Selasa.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penemuan kira-kira jam 2.45 petang itu hasil pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang susulan maklumat awam.Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah beg mencurigakan mengandungi 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertanda ‘STONE’ yang disyaki kokain."Secara keseluruhan, terdapat 20 bungkusan dalam beg berkenaan, namun enam daripadanya telah terlarut kerana dipercayai lama berada di dalam air, manakala 14 lagi masih dalam keadaan baik."Jumlah berat dadah yang masih elok dianggarkan sekitar 16 kilogram dengan nilai keseluruhan kira-kira RM7.318 juta berdasarkan harga pasaran semasa kira-kira RM450,000 sekilogram," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar kejayaan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang membabitkan rampasan dadah di Pekan di bilik media sini pada Rabu.Yahaya memaklumkan, siasatan awal mendapati beg berkenaan dipercayai telah dihanyutkan sebelum terdampar di pesisir pantai berdasarkan keadaan fizikal bungkusan yang telah lama terendam di dalam air.Ujarnya, tempoh sebenar dadah itu berada di laut masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan."Setakat ini, seorang saksi telah dirakam percakapan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pihak terlibat."Belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita masih meneruskan siasatan lanjut mengenai kes ini," jelas beliau lagi.Yahaya menjelaskan, rampasan itu dianggarkan mampu menjejaskan lebih 80,000 penagih sekiranya dadah berkenaan berjaya diedarkan.Tambah beliau, penemuan kokain dalam jumlah besar itu merupakan kes yang jarang berlaku di negeri ini.Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi JSJN Pahang di talian 09-4221222 atau 012-2087222.
Go to News Site