Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sepanjang Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini membantu merekodkan perkembangan positif indeks jenayah dengan penurunan sebanyak 111 kes.Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penurunan itu melibatkan pengurangan daripada 858 kes pada tahun 2025 kepada 747 kes bagi tempoh sama tahun ini.Menurutnya, pelaksanaan Op Selamat 26 mencerminkan peningkatan kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat melalui penggunaan aplikasi VSP serta strategi pencegahan jenayah yang lebih tersusun dan berfokus."Sepanjang tempoh perayaan, penggunaan modul aduan melalui VSP meningkat daripada 80 kes kepada 150 kes."Modul pemakluman balik kampung pula mencatatkan lonjakan daripada 8,036 kepada 16,889, manakala penggunaan butang kecemasan meningkat daripada lima kepada tujuh kes," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Beliau berkata, Op Selamat 26 turut merekodkan sebanyak 61,122 rumah ditinggalkan yang dilawati pihak polis dengan 31,636 rondaan MPV dilaksanakan."Sebagai perbandingan, Op Selamat 24 sebelum ini mencatatkan 76,274 rumah ditinggalkan dilawati dengan 37,429 rondaan MPV."Perkembangan positif indeks jenayah ini membantu meningkatkan keberkesanan rondaan MPV serta lawatan ke rumah ditinggalkan secara lebih komprehensif," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, setakat 30 Mac 2026, jumlah keahlian aplikasi VSP telah mencecah 1,705,852 pengguna."Pencapaian ini mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen masyarakat yang semakin tinggi dalam usaha pencegahan jenayah bersama PDRM," katanya.Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkukuh strategi pencegahan jenayah melalui rondaan, penguatkuasaan serta penglibatan komuniti."Bertunjangkan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, sinergi ini diyakini mampu mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan negara secara berterusan," katanya.
Go to News Site