Collector
'Tiba-tiba ada orang atas bumbung kereta, tangan terkulai di cermin depan' - Pemandu Myvi biru akui trauma | Collector
'Tiba-tiba ada orang atas bumbung kereta, tangan terkulai di cermin depan' - Pemandu Myvi biru akui trauma
Sinar Harian

'Tiba-tiba ada orang atas bumbung kereta, tangan terkulai di cermin depan' - Pemandu Myvi biru akui trauma

KLANG – "Dua hari saya tak boleh tidur malam, setiap kali pejam mata, kejadian itu bermain dalam ingatan."Itu luahan individu yang mahu dikenali sebagai Megan, 42, saksi utama yang masih trauma selepas menyaksikan sendiri detik ngeri seorang penunggang motosikal terjatuh di atas bumbung keretanya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat di sini, Ahad lalu.Lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu berkata, ketika kejadian dia bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang.Jelasnya, keadaan berlaku begitu pantas sebelum dirinya menyedari mangsa sudah berada di atas kenderaannya."Saya ingatkan kereta itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas kereta saya."Saya sedar apabila lihat tangan mangsa terkulai di cermin hadapan sebelah bahagian pemandu, masa itu saya tak pasti keadaannya," katanya.Megan berkata, dalam keadaan panik, dia mengambil keputusan untuk memandu perlahan bagi mengelakkan mangsa daripada terjatuh ke jalan."Saya bawa kereta perlahan-lahan, saya tak mahu dia jatuh. Saya fikir, tak mengapa kalau kereta saya rosak, yang penting nyawa dia."Saya terus berhenti di tepi jalan, dalam hati saya berdoa agar dia selamat," katanya.Bagaimanapun, sebaik turun dari kenderaan, dia mendapati mangsa sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan.Katanya, detik itu menjadi titik trauma yang masih menghantui dirinya sehingga kini."Saya memang tak boleh tidur, saya takut, sampai sekarang nak bawa kereta atau motosikal pun saya fobia," ujarnya.Lebih membebankan, Megan berkata, dia turut berdepan kesukaran apabila kenderaan dipandunya itu tidak dilindungi insurans komprehensif."Kereta itu saya pinjam daripada kawan, insurans hanya pihak ketiga, jadi saya tak dapat buat tuntutan."Sekarang saya kena tanggung sendiri kos baiki kereta, kereta pula kena tahan di balai untuk siasatan," katanya.Menurutnya, keadaan itu turut menjejaskannya kerana dia memerlukan kenderaan untuk urusan kerja harian.Bagaimanapun jelasnya, beberapa saksi lain tampil memberikan keterangan sebenar berhubung kejadian itu."Saya sedih sebab saya dapat tahu yang mangsa ada keluarga, anak-anak masih kecil," katanya dengan nada sebak.Tegasnya, kejadian itu bukan sahaja meragut nyawa, malah memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah."Satu orang buat salah, ramai yang susah. Saya juga turut terkesan akibat kejadian ini."Memang perbuatan individu ini sangat tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan hukuman tegas agar menjadi pengajaran kepada semua," katanya.Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki di Jalan Raya Barat di sini.Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Polis Lim Jit Huey berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.Jelas beliau, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa.

Go to News Site