Collector
'Risau anak rasa bersalah sebab arwah keluar beli buku' | Collector
'Risau anak rasa bersalah sebab arwah keluar beli buku'
Sinar Harian

'Risau anak rasa bersalah sebab arwah keluar beli buku'

KLANG - Isteri kepada penunggang motosikal yang maut dirempuh tidak mahu anak sulungnya dibuli sehingga menimbulkan rasa bersalah kerana arwah keluar membeli buku sebelum terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan mangsa melambung ke atas sebuah kereta.Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia memohon semua pihak memberi sokongan dan menjaga emosi anak-anaknya."Saya tak nak dia rasa bersalah, ditekan dengan pelbagai soalan atau dibuli di sekolah, itu yang saya takutkan."Saya bimbang dia salahkan diri sendiri sebab mahu buku teks sehingga menyebabkan arwah suami keluar menunggang motosikal," katanya seakan menahan air mata ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.Ibu kepada tiga anak itu berkata, anak sulungnya juga terlalu merindui bapanya sehingga mahu memakai baju arwah ketika tidur.Nor Nadia berkata, anak bongsunya yang masih kecil dan tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah perkuburan sering menyebut "Papa dekat dalam (kubur)".Meskipun berdepan dengan dugaan ini, dia yang bekerja sebagai penghantar barang p-hailing bersama arwah suami, Amirul Hafiz Omar, 33, berharap anak-anaknya dapat terus kuat menghadapi kehilangan bapa mereka.Dalam pada itu, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menawarkan khidmat kaunseling untuk anak-anak.Selepas ini, katanya, mereka sekeluarga akan berpindah ke Taiping, Perak, malah urusan perpindahan sekolah anak-anak akan dibuat dalam masa terdekat."Di sini, kalau saya sibuk, anak-anak tak ada orang nak tolong tengokkan, jadi saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung."Sekurang-kurangnya mereka boleh tengok-tengokkan anak saya kelak," katanya.Pada pagi Rabu, R. Saktygaanapathy, 28, dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan membunuh Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.Dalam pada itu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memasukkan dadah disyaki jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan.Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada jam 3.30 petang, tarikh sama.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Go to News Site