Sinar Harian
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggerakkan 140 anggota ke seluruh stesen minyak di negeri ini termasuk kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi RON95 ke negara jiran.Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, ia selari dengan larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang mula berkuat kuasa pada Rabu."Bermula hari ini kerajaan melaksanakan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026 bagi memastikan subsidi petrol disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak."Jadi, kita gerakkan seluruh anggota penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan, pemantauan serta advokasi penguatkuasaan di 248 stesen minyak di seluruh negeri," katanya pada Rabu.Menurut beliau, pada masa sama pegawai penguat kuasa akan mempergiatkan pemeriksaan secara statik di stesen minyak serta kawalan di pintu sempadan.Katanya, rondaan setiap hari akan dilakukan di lokasi tumpuan dan kawasan berisiko tinggi berlakunya penyeludupan RON95.Aswadi memberitahu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.Ujarnya, langkah ini bertujuan mengawal ketirisan subsidi, melindungi hak pengguna tempatan serta memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil."Ia susulan keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada 30 September 2025 melalui mekanisme harga apungan terkawal (managed float), meskipun harga bahan api itu masih lebih rendah berbanding negara jiran."Perbezaan harga tersebut dilihat mendorong peningkatan permintaan petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing, sekali gus meningkatkan risiko ketirisan subsidi serta menjejaskan kestabilan bekalan domestik," katanya.
Go to News Site