Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru, Siti Nor Aisyah Suratnu, 48, dilantik sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu bagi memperkukuh gerak kerja wanita parti di peringkat negeri.Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim berkata, pelantikan itu dibuat susulan peletakan jawatan Noor Fatimah Yusoff yang mahu memberi tumpuan memperkasa wanita di peringkat Cabang Mersing.Menurutnya, Siti Nor Aisyah dipilih berdasarkan pengalaman luas, rekod kepimpinan cemerlang serta komitmen tinggi dalam memperjuangkan agenda wanita."Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Wanita Keadilan Cabang Johor Bahru dan juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Wanita Keadilan Johor. Pengalaman ini menjadi nilai tambah untuk memimpin gerak kerja wanita di negeri ini," katanya ketika dihubungi.Tambah Fakharuddin, Siti Nor Aisyah turut dilihat mempunyai kefahaman mendalam terhadap parti selain berupaya menyusun strategi bagi memperkukuh peranan wanita sebagai jentera penting PKR.Katanya, kepimpinan baharu itu diharap dapat memperkasakan cabang wanita, mendekati masyarakat serta membawa isu berkaitan wanita dan keluarga secara lebih berkesan."PKR Johor juga berharap beliau mampu menyatukan kekuatan wanita di seluruh negeri bagi menghadapi cabaran politik akan datang dengan lebih tersusun," katanya.
Go to News Site