Sinar Harian
SEREMBAN – Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu mengarahkan seorang guru kaunseling yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun serta memiliki bahan pornografi kanak-kanak supaya menjalani penilaian psikiatri.Hakim Surita Budin membuat keputusan itu selepas permohonan dibuat oleh peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh, Mohd Khairulnizam Muslin, 45."Tertuduh akan dirujuk ke Hospital Permai bagi tujuan tersebut dan prosiding akan diteruskan selepas memperoleh keputusan," katanya.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni sebelum itu memaklumkan bahawa pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.Mengikut pertuduhan, Mohd Khairulnizam didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah bilik kaunseling sekolah pada September 2023.Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Selain itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan memiliki 180 gambar dan klip video yang memaparkan penderaan seksual kanak-kanak yang ditemui di dalam sebuah komputer riba miliknya di sebuah rumah di Seremban pada 12 Disember 2023.Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 10 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pada Disember tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju menarik balik pertuduhan ketiga terhadap tertuduh yang melibatkan serangan seksual terhadap seorang lagi murid berusia 11 tahun selepas representasi dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Go to News Site