Collector
Ruang tamu jadi 'kamar mahkamah' demi sahkan lafaz cerai | Collector
Ruang tamu jadi 'kamar mahkamah' demi sahkan lafaz cerai
Sinar Harian

Ruang tamu jadi 'kamar mahkamah' demi sahkan lafaz cerai

​KUALA NERUS – Ruang tamu sebuah rumah di sini berubah wajah menjadi 'kamar mahkamah' sementara bagi membolehkan prosiding pengesahan lafaz cerai dilaksanakan pada Selasa lalu.​Inisiatif Mahkamah Bergerak (Outreach) oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Nerus itu dilaksanakan bagi menyantuni seorang responden yang kini terlantar sakit kronik dan tidak mampu hadir ke bangunan mahkamah.​Prosiding khas itu dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Nerus, Ahmad Najib Mohd yang menyaksikan keterangan diambil secara terus di sisi katil responden yang sedang bertarung dengan penyakit.​Unit Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) dalam kenyataan pada Rabu berkata, pelaksanaan prosiding di luar bangunan mahkamah itu bertujuan memastikan integriti perbicaraan tetap terpelihara meskipun dijalankan dalam suasana di kediaman pesakit.​Menurut kenyataan itu, pengisytiharan rumah kediaman sebagai kamar mahkamah yang sah adalah selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan setiap prosedur memenuhi tuntutan lunas kehakiman.​"Langkah proaktif ini diambil memandangkan responden sedang berhadapan dengan ujian kesihatan kronik akibat penyakit kencing manis dan komplikasi buah pinggang, serta bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen.​"Kekangan fizikal ini menjadikannya mustahil bagi responden untuk hadir ke bangunan mahkamah, namun keadilan perlu diteruskan," jelas kenyataaan tersebut.​Mengulas lanjut, JKSTR menjelaskan bahawa tindakan tersebut bersandarkan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, khususnya Seksyen 129 yang membenarkan perpindahan tempat perbicaraan serta Seksyen 242(1) berkaitan pengambilan keterangan di tempat yang sesuai.​Malah, Seksyen 244 memberikan kuasa sedia ada kepada mahkamah untuk membuat apa-apa perintah bagi mengelakkan ketakadilan, terutama bagi memastikan status perceraian tidak terus 'tergantung'.​"Komitmen ini adalah sebahagian daripada usaha Mahkamah Syariah untuk memastikan status diri pihak-pihak terlibat dapat diputuskan dengan segera mengikut hukum Syarak.​"Ia sekali gus mencerminkan prinsip 'Ihsan' dan 'Rahmah' dalam sistem perundangan Islam yang mana keadilan tidak hanya bersifat menghukum, tetapi juga menyantuni keperluan rakyat yang dalam kesusahan," katanya.​Prosiding tersebut dilaporkan berjaya diselesaikan secara sempurna di lokasi berkenaan, sekali gus memudahkan urusan masa depan pihak-pihak terlibat dan memelihara kebajikan keluarga dalam mendepani situasi sukar tersebut.

Go to News Site