Sinar Harian
SHAH ALAM - Tiada data nasional yang boleh mengesahkan wujud kaitan antara prestasi Bahasa Melayu merosot dalam analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan kesannya terhadap amalan, perpaduan nasional dan pembinaan watak bangsa Malaysia yang didakwa semakin longgar.Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, terlalu awal untuk orang awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk membuat rumusan sebegitu.Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) itu berpandangan, calon SPM 2025 yang memperoleh keputusan pada Selasa lalu merupakan kumpulan pertama tidak melalui Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)."Di peringkat nasional, kita belum ada data sahih berkaitan kesan pemansuhan UPSR dan PT3 terhadap pencapaian SPM mereka. Apakah apabila UPSR dimansuhkan, maka kita sudah tidak ada data peringkat kebangsaan dalam konteks mengukur keupayaan atau kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) golongan ini."Kita cuma harapkan data-data Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), itupun sebenarnya data yang tidak sepenuhnya objektif. Jadi, sebenarnya kita tak tahu tahap pencapaian murid dalam kemahiran 3M peringkat kebangsaan yang akhirnya memberi kesan kepada pencapaian di peringkat SPM."Apabila tak ada UPSR dan kita tidak ada satu sistem pentaksiran untuk menunjukkan di peringkat awal bagaimana tahap penguasaan anak-anak dalam 3M, apabila mereka naik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga (tiada PT3), mereka terus ke Tingkatan Empat dan kemudian Tingkatan Lima barulah ambil SPM," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Atas dasar itu, Anuar berpendapat sukar diadakan pemantauan, pengesanan bahkan usaha penambahbaikan yang bersasar sebelum pelajar mengambil peperiksaan SPM disebabkan kelompok terbabit tidak menduduki UPSR dan PT3 pada mulanya."Malah prestasi subjek Matematik Tambahan pun menurun begitu juga Sains Tulen. Apabila Matematik misalnya merosot, ia tentunya berhubung kait dengan kemahiran mengira."Kalau anak-anak kita di sekolah rendah tidak ada satu ujian setara peringkat kebangsaan untuk mengukur tahap keupayaan mereka, bila melangkah ke alam sekolah menengah maka tiada lagi penilaian, mereka terus duduki SPM dan kita dapati ia (prestasi) merosot."Justeru, kemerosotan Bahasa Melayu ini tentang kebarangkalian ia melonggarkan perpaduan atau tidak, kajian perlu dibuat bagi mengesahkan perkara itu," ujarnya lagi.Anuar dalam masa sama berharap supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian sewajarnya berhubung perkara tersebut agar prestasi Bahasa Melayu yang merupakan subjek teras dapat ditingkatkan kembali untuk tahun-tahun seterusnya.Sebelum ini, ABIM menegaskan bahawa SPM 2025 bukan sekadar laporan pencapaian tahunan, tetapi cerminan arah masa depan pendidikan negara.Naib Presidennya, Muhamad Aliemran Norasid berkata, penurunan prestasi dalam beberapa subjek teras memberi isyarat bahawa jurang antara akses dan kualiti masih wujud selain memerlukan perhatian lebih tuntas serta bersifat sistemik.Jelas beliau, penurunan prestasi Bahasa Melayu antara lain perlu diberi perhatian strategik kerana ia berkait rapat dengan jati diri, perpaduan nasional dan pembinaan watak Bangsa Malaysia.
Go to News Site