Sinar Harian
SUNGAI PETANI - Sebanyak 41 peserta Program Agrobank Upward Migration (AUM) dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjaya mencatat peningkatan hasil jualan membanggakan mencecah RM38.7 juta bagi tahun 2025.Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kejayaan ini menunjukkan hasil jualan 41 buah syarikat itu meningkat sebanyak RM9.78 juta iaitu 33.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.Menurutnya, peningkatan hasil jualan tersebut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Program AUM dalam meningkatkan daya saing usahawan tempatan serta memperkukuh kapasiti perniagaan mereka."Majlis Aspirasi Kecemerlangan kali ini menjadi platform untuk meraikan pencapaian usahawan dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan. Melalui bimbingan jurulatih Agrobank serta usaha gigih para usahawan, sebanyak sembilan syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan dengan jumlah keseluruhan RM546,000 menerusi Program AUM," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan PPKP di sini pada Selasa.Menurutnya, inisiatif AUM dikendalikan Agrobank Centre of Excellence (ACE) bertujuan memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor keterjaminan makanan agar terus berkembang secara mampan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.Tengku Ahmad Badli Shah berkata, dalam majlis berkenaan, Agrobank turut mengiktiraf lima syarikat yang mencatat pencapaian cemerlang dalam pelbagai kategori, antaranya Peningkatan Jualan, Pengembangan Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penciptaan Inovasi serta Penambahan Kapasiti (Pembiayaan)."Program AUM dirangka sebagai inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang mengintegrasikan pembelajaran teori dan aplikasi praktikal."Sepanjang tempoh program, peserta mengikuti latihan secara bersemuka dan dalam talian, di samping menerima bimbingan terus di lokasi perniagaan masing-masing," jelasnya.Beliau berkata, pendekatan itu diperkukuh melalui modul komprehensif merangkumi pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital, perancangan hala tuju syarikat serta amalan pengurusan perniagaan berstandard korporat.Sementara itu, penerima Anugerah Penciptaan Pekerjaan, Muhammad Afif Hidayat Muhammad Nazri, 25, berkata, Program AUM sangat membantu beliau dalam merekodkan jualan secara lebih sistematik."Program ini banyak membantu dari segi mengembangkan perniagaan, bermula dengan sebuah kanopi kecil di pekan Pendang bermodalkan RM2,000. Kini saya berjaya memperolehi hasil jualan sembilan cawangan mencecah RM200,000 sebulan dengan 13 pekerja," katanya.Bagi penerima Anugerah Peningkatan Jualan, Muhammad Tuah Nur Alif Sahazali, 34, berkata, bantuan dan sokongan sepanjang program telah melonjakkan perniagaan restoran miliknya."Melalui bimbingan daripada Agrobank, kami dapat meningkatkan jualan dan mempunyai dua cawangan iaitu di Nibong Tebal dan Batu Kawan, Pulau Pinang," katanya.
Go to News Site