Sinar Harian
GERIK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sebanyak 94 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 270 liter petrol dalam satu operasi di kawasan perkampungan Orang Asli di sini pada Selasa.Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi kira-kira jam 5.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Gerik hasil maklumat awam berhubung kegiatan penjualan barang kawalan tanpa lesen sah.Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dua premis menjalankan aktiviti perdagangan LPG dan petrol secara haram tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia."Dalam serbuan tersebut, dua individu iaitu seorang lelaki berumur 32 tahun dan seorang wanita berumur 38 tahun yang dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan berkenaan."Ekoran kegagalan mematuhi peraturan tersebut, pihak KPDN telah bertindak menyita sebanyak 94 tong LPG serta 270 liter petrol bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10,966," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menjual barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis.Katanya, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.Jelasnya, bagi kesalahan melibatkan badan korporat pula denda boleh mencecah hingga RM2 juta dan hingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan.
Go to News Site