Sinar Harian
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai kaedah penentuan harga diesel susulan trend kenaikan berterusan bahan api itu yang dijangka mencecah RM6.02 seliter di Semenanjung Malaysia.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenaikan mendadak daripada kadar RM5.52 seliter sebelum ini dalam tempoh singkat bakal memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan serta kos sara hidup rakyat.Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan kemungkinan kenaikan tarif elektrik yang tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga bahan api, sekali gus berpotensi meningkatkan kos operasi perniagaan secara berganda."Syarikat dalam sektor logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan dan peruncitan telah memberi amaran bahawa kenaikan kos input ini sukar ditampung."Banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin tipis berkemungkinan besar terpaksa menaikkan harga barang dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan risiko inflasi kos," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.Sehubungan itu, Takiyuddin menegaskan bahawa PN menuntut penjelasan tuntas daripada kerajaan, khususnya melibatkan unjuran harga diesel bagi tempoh beberapa bulan akan datang serta kepastian sama ada paras RM6.02 seliter merupakan harga siling maksimum atau bakal berdepan pelarasan lanjut.Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperincikan impak sebenar kenaikan tarif elektrik terhadap kadar inflasi dan sektor perniagaan, selain membentangkan langkah segera yang konkrit bagi melindungi golongan sasar daripada terus dihimpit tekanan kos sara hidup yang semakin meruncing.Dalam pada itu, PN turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas, memandangkan Petronas terus menikmati keuntungan luar biasa daripada harga tenaga global dan eksport LNG.Menurut beliau, hasil cukai berkenaan membolehkan kerajaan melindungi ekonomi secara keseluruhan dan efektif melalui pemberian subsidi, pelepasan cukai mahupun insentif kos.Mengulas mengenai jurang harga domestik, Takiyuddin melahirkan kebimbangan mengenai perbezaan harga diesel yang ketara antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang kini kekal pada RM2.15 seliter, sekali gus mencetuskan persepsi beban kos yang tidak adil.Malah, beliau menegaskan harga diesel di Malaysia kini berisiko menjadi antara yang tertinggi di rantau ini walaupun negara merupakan pengeluar minyak dan gas.Beliau menarik perhatian kepada perbandingan harga setakat 1 April lalu yang menunjukkan harga diesel di Thailand kekal pada kadar RM4.99 seliter, Vietnam pada RM5.40 seliter, manakala di China pada RM4.80 seliter.Di Indonesia pula, harga bagi kegunaan peribadi adalah RM1.60 seliter manakala sektor komersial pada RM3.37 seliter.Justeru, PN mendesak kerajaan mewujudkan mekanisme penstabilan harga dengan menetapkan harga siling atau penampan bagi menghindari kenaikan harga secara mendadak.Tambahnya, ketelusan mengenai kadar pertukaran, kos, margin dan komponen fiskal dalam harga akhir adalah sangat penting bagi meningkatkan keyakinan awam serta menstabilkan sentimen pasaran pada masa ini.
Go to News Site