Sinar Harian
SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu hanya akan melemahkan kekuatan politik dan masa depan mereka.Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan terhadap kenyataan Dr Mahathir yang menekankan kepentingan perpaduan orang Melayu dalam menghadapi cabaran semasa."Terima kasih Tun. Selagi Melayu berpecah, selagi itulah kita akan lemah," katanya ringkas dalam hantaran tersebut.Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa orang Melayu silap kerana membiarkan politik Melayu terus berpecah dengan penubuhan banyak parti politik berteraskan kaum itu hari ini.Beliau berkata, kesilapan dilakukan mengakibatkan kini mereka hanya bersaing sesama sendiri."Hari ini ramai berpendapat UMNO yang kalahkan British. Jadi parti boleh beri kemenangan. Maka ditubuhlah beberapa parti."Ini memecahbelah orang Melayu. Mereka bersaing sesama mereka. Tidak mungkin ada antara mereka yang menang."Mereka kalah, negara tergadai. Tanah Melayu sudah jadi tanah orang lain. Siapa silap, yang silap ialah orang Melayu. Ini adalah perjuangan yang terakhir bagi orang Melayu," katanya dalam hantaran di Facebook.Menurut Dr Mahathir, pada satu masa dahulu Melayu bersatu melalui satu parti iaitu UMNO.Katanya, yang penting pada masa lalu bukan UMNO tetapi perpaduan melalui UMNO.Selain UMNO, parti yang turut membawa perjuangan Melayu termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).Parti kecil lain yang turut membawa perjuangan itu ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Ikatan Bangsa (Ikatan) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali 'grand collaboration' atau 'kolaborasi agung', tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.Beliau menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang kemudian dipersetujui perwakilan.Kolaborasi berkenaan untuk menghimpunkan seluruh parti politik Melayu dan Islam di bawah satu landasan sama terutama dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan kaum dan agama.Pada Februari lalu, parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera pertama kali duduk semeja berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.Pertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) turut dihadiri Pas, PKR, Amanah, PGRS, Berjasa, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Ikatan.
Go to News Site