Sinar Harian
KOTA BHARU - Krisis bekalan minyak diesel yang melanda beberapa negara ASEAN dipercayai menjadi antara faktor penurunan kes pencerobohan nelayan asing di perairan Kelantan sejak awal tahun ini.Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Kamal Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan situasi tersebut berkait rapat dengan konflik geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang memberi kesan kepada rantaian bekalan bahan api dunia.Menurut beliau, nelayan asing khususnya dari Vietnam dan Thailand dilihat semakin berkurangan menceroboh perairan negara berikutan peningkatan kos operasi susulan kekurangan diesel."Walaupun begitu, kami tetap mempergiatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan operasi penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.Dalam tempoh tersebut, ujar beliau, hanya satu vesel berjaya ditahan dan tidak melibatkan nelayan asing.Katanya, pelbagai kesalahan turut dikesan melibatkan beberapa akta termasuk Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007."Antara kesalahan termasuk menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari daratan, tiada dokumen sah, pas lawatan kerja sementara tamat tempoh serta membawa barangan tidak berkastam," katanya.Dalam pada itu, beliau memaklumkan nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini dianggarkan berjumlah RM671,350.Menurutnya, Maritim Malaysia Kelantan akan terus meningkatkan kehadiran aset di laut sebagai langkah pencegahan, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi membendung sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan."Situasi krisis bahan api global ini mungkin memberi kesan sementara, namun penguatkuasaan akan terus diperkasakan tanpa kompromi," katanya.
Go to News Site