Collector
Rakyat tidak tanggung sepenuhnya kesan krisis global - Tengku Zafrul | Collector
Rakyat tidak tanggung sepenuhnya kesan krisis global - Tengku Zafrul
Sinar Harian

Rakyat tidak tanggung sepenuhnya kesan krisis global - Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Kerajaan telah membelanjakan sekitar RM4 bilion menerusi inisiatif Sokongan Rakyat bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan global.Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, peruntukan itu digunakan bagi mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter selain meneruskan sokongan diesel untuk sektor yang layak.Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk bertindak secara bersasar dalam menyerap tekanan kos tenaga yang berlarutan."Rakyat tidak menanggung kesan krisis ini. Pendekatan kerajaan jelas, bukan sekadar bertindak, tetapi bertindak secara bersasar."Bila keadaan memerlukan, saya yakin kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya bukan sekadar menjelaskan, tetapi menyelesaikan," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya pada Khamis.Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kedudukan ekonomi Malaysia kini relatif lebih stabil berbanding beberapa negara serantau pada Rabu.Anwar menjelaskan, kestabilan ekonomi membolehkan harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter tanpa keperluan melakukan catuan seperti yang berlaku di negara jiran.Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, kerajaan sedia mengaktifkan stimulus atau inisiatif tambahan secara berperingkat sekiranya keadaan rantaian bekalan dunia semakin mencabar.Jelas beliau, disiplin fiskal tetap menjadi keutamaan namun kerajaan tidak boleh bersandar kepada angka semata-mata tanpa mengambil kira realiti tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat."Tanggungjawab kita jelas, memastikan apabila keadaan berubah, kita bukan sekadar bersedia tetapi mampu bertindak dengan pantas dan tepat," ujarnya.

Go to News Site