Collector
AMG YASA lakar sejarah, 35 peratus pelajar raih semua A SPM 2025 | Collector
AMG YASA lakar sejarah, 35 peratus pelajar raih semua A SPM 2025
Sinar Harian

AMG YASA lakar sejarah, 35 peratus pelajar raih semua A SPM 2025

KUANTAN - Akademi Menara Gading Next Generation Accelator Yayasan Al-Sultan Abdullah (AMG: NextGen YASA) mencipta pencapaian luar biasa apabila 35 peratus pelajar kohort pertamanya berjaya meraih keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.Pengurus AMG:NextGen YASA, Profesor Datuk Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, kejayaan itu sekali gus meletakkan akademi berkenaan sebagai antara model pendidikan berimpak tinggi dalam melahirkan pelajar cemerlang.Menurutnya, inisiatif itu selari dengan aspirasi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menjadikan program tersebut sebagai hab pembangunan pemimpin muda Pahang bertaraf global."Program ini berteraskan Konsep Abdullah yang memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh pelajar merangkumi kecemerlangan akademik, pembinaan sahsiah, kepimpinan serta nilai spiritual."Selain itu, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi bukti bahawa pendekatan yang tersusun dan berfokus mampu mengubah masa depan pelajar. Kita tidak hanya melahirkan pelajar cemerlang, namun pemimpin masa depan yang berdaya saing di peringkat global," katanya.Program tersebut menyasarkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima dengan pendekatan pembelajaran yang merangkumi modul tuisyen komprehensif oleh guru Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) cemerlang, Program Pecutan SPM berfokus dan Kem Motivasi SPM bagi membina daya tahan serta disiplin.Mengulas lanjut, Ahmad Ziad berkata, dalam memperkukuh dimensi global, pelajar kohort pertama didedahkan kepada pengalaman antarabangsa melalui lawatan ilmiah ke Liuzhou Railway Vocational and Technical College (LRVTC) di China.Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkata, pendedahan tersebut memberi peluang kepada pelajar memahami teknologi masa hadapan seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga hidrogen dan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bertaraf global."Kita mahu anak-anak ini melihat dunia lebih luas, memahami teknologi masa depan, dan kembali sebagai pemimpin yang mampu menyumbang kepada negeri dan negara."Lebih menyentuh hati, kejayaan ini juga membawa bersama kisah-kisah inspirasi pelajar AMG:NextGen YASA. Ramai dalam kalangan mereka datang daripada keluarga kurang berkemampuan, namun berjaya membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan."Kita bukan sahaja menyediakan pelajar untuk lulus peperiksaan, tetapi membentuk mereka sebagai ‘university-ready talent’ yang mempunyai asas akademik kukuh, kematangan diri dan pendedahan global," katanya.Ujarnya, melalui jaringan akademik dan kolaborasi antarabangsa, pelajar AMG:NextGen YASA bukan sahaja didedahkan kepada pengalaman global seperti lawatan ke China, malah dibentuk sebagai pelajar yang bersedia melangkah ke institusi pengajian tinggi terkemuka.Beliau berkata, pendekatan itu secara tidak langsung meletakkan akademi tersebut sebagai saluran pembangunan bakat kepada UMPSA dan institusi pendidikan tinggi lain, khususnya dalam bidang STEM dan TVET berimpak tinggi."Asas akademik yang kukuh, pendedahan global, pembangunan sahsiah dan kepimpinan, pelajar AMG:Next Gen YASA dilihat berpotensi besar untuk menjadi generasi pelapis yang bukan sahaja cemerlang di universiti tetapi mampu menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negeri dan negara."AMG:NextGen YASA dijangka terus memperluaskan impaknya sebagai platform transformasi pendidikan yang melahirkan generasi NextGen berakhlak, berintegriti dan berdaya tahan tinggi, selari dengan aspirasi negeri Pahang untuk masa depan," katanya.

Go to News Site