Collector
Diari Zara Qairina mengandungi luahan emosi terhadap ibu - Pakar psikiatri forensik | Collector
Diari Zara Qairina mengandungi luahan emosi terhadap ibu - Pakar psikiatri forensik
Sinar Harian

Diari Zara Qairina mengandungi luahan emosi terhadap ibu - Pakar psikiatri forensik

KOTA KINABALU - Pakar psikiatri forensik yang merupakan saksi ke-67 memberitahu kepada Mahkamah Koroner, di sini, bahawa diari Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengandungi luahan emosi terhadap ibu, termasuk kemarahan, kebencian, serta ungkapan ingin menjauhkan diri dan tidak lagi tinggal bersama keluarga.Dr Chua Sze Hung, 43, dari Hospital Mesra Bukit Padang Kota Kinabalu berkata, kandungan diari tersebut menunjukkan luahan emosi yang berulang terhadap ibunya."Diari tersebut mencerminkan persepsi si mati terhadap A2 (ibu). Dalam diari itu, si mati menulis beberapa halaman mengenai A2. Halaman-halaman yang menggambarkan A2 sarat dengan kata-kata kesat."Halaman tersebut terdapat penandaan Y1 hingga Y15. Pada November 2024, si mati menulis dengan perasaan marah dan bengang, kata-kata tersebut disertai tanda sarkastik yang ditujukan kepada A2, yang namanya disebut kemudian."Beliau menyatakan bahawa dia akan merasa lega tanpa A2 dalam fikirannya. Banyak catatan ditulis dengan nada ditujukan kepada A2. Beliau juga merujuk A2 sebagai gangguan kepada orang lain dan mengharapkan kematian awal A2," katanya.Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang dikemukakan peguam, Datuk Ram Singh, pada Khamis.Beliau berkata, catatan tersebut turut menunjukkan keinginan si mati untuk menjauhkan diri daripada keluarga serta mencari ketenangan melalui perubahan persekitaran."Si mati menyatakan dia menantikan untuk masuk sekolah berasrama penuh kerana ingin berada lebih jauh daripada ibunya dan mencari ketenangan."Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan kehilangan barang berbanding terus dimarahi oleh ibunya," katanya.Sze Hung turut menjelaskan bahawa diari berkenaan mengandungi luahan perasaan tidak disayangi, kebencian serta tekanan emosi yang berpanjangan terhadap hubungan dengan ibu.Menurut beliau, antara catatan lain termasuk ungkapan 'kalau hari-hari ja begini, mental saya pun nda kuat bah, lebih baik saya mati ja'.Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa catatan tersebut perlu difahami sebagai persepsi si mati dan tidak boleh disahkan secara fakta."Tidak jelas sama ada dakwaan dalam diari itu benar kerana ia tidak dapat disahkan secara bebas. Ia merupakan persepsi penulis diari," katanya.Katanya, keseluruhan kandungan diari menunjukkan wujudnya kesakitan psikologi yang berpunca daripada persepsi konflik kekeluargaan, termasuk perasaan kehilangan kasih sayang, keretakan hubungan dan kemarahan yang mendalam.Beliau menambah, walaupun terdapat faktor tekanan emosi, kes berkenaan tidak boleh disimpulkan berpunca daripada satu faktor sahaja."Adalah tidak tepat untuk mengaitkan bunuh diri dengan satu faktor sahaja. Ia merupakan gabungan pelbagai faktor," jelasnya.Prosiding inkues ditangguhkan pada Khamis dan akan bersambung semula pada 13 hingga 17 April ini.Sebelum itu, Ram turut bersama rakan sepasukannya, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dikaitkan dalam kes tersebut.Sementara itu, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan mewakili empat lagi pelajar lain.Pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James pula mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim.Sementara itu, pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus dan Hakim Koroner ialah Amir Shah bin Amir Hassan.Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Go to News Site