Sinar Harian
SHAH ALAM - Pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang jarak perjalanannya sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer (km) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR).Perkara tersebut dinyatakan menerusi surat edaran pelaksanaan bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam berikutan konflik Asia Barat.Menurut surat tersebut, pegawai yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor serta semua ibu negeri juga merupakan syarat dibenarkan untuk berbuat demikian.Katanya, pelaksanaan BDR konflik Asia Barat ini berkuat kuasa mulai 15 April 2026."Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2: Dasar BDR telah memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan."Berikutan konflik yang berlaku di Asia Barat, kerajaan telah bersetuju supaya pegawai perkhidmatan awam persekutuan untuk melaksanakan BDR secara berperingkat sebagai langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global," ujar surat itu pada Khamis.Dalam pada itu, surat berkenaan turut menjelaskan bahawa sektor dikecualikan dari BDR ialah keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan.Jelasnya, bagi negeri-negeri di mana hari kelepasan mingguan (HKM) adalah hari Ahad, BDR adalah pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari."Bagi negeri-negeri di mana HKM pada hari Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu), BDR adalah pada Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari. (Tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis)"Tempat bekerja pegawai semasa BDR ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja," katanya.Tambah surat berkenaan, pegawai dikehendaki menggunakan SPOT-Me yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.Ujarnya, mereka hendaklah mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai."Ketua Jabatan perlu mengenal pasti output bagi setiap pegawai yang BDR dan hendaklah menyemak serta mengesahkan secara berkala sasaran kerja dan output yang telah ditetapkan," ulasnya.
Go to News Site