Sinar Harian
PAPAR - Seorang pelajar Tingkatan Lima parah akibat dirempuh pacuan empat roda ketika melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 19 Jalan Baru Papar - Kota Kinabalu, pada Khamis.Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, remaja perempuan berusia 17 tahun itu dilaporkan mengalami patah kaki dan cedera di bahagian kepala.Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan seorang pejalan kaki itu turut tular di media sosial."Siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu."Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa."Akibat kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di kepala dan patah kaki kiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya lagi, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut."Pemandu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tujuan siasatan lanjut."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Go to News Site