Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen (JIM) menahan seorang lelaki dan dua wanita warganegara China disyaki memiliki pas lawatan sosial palsu untuk digunakan sebagai dokumen sokongan mendapatkan kemudahan visa masuk ke Amerika Syarikat (AS).Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil maklumat risikan, ketiga-tiga mereka yang berumur 25 hingga 54 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan pada 11.25 pagi semalam.Beliau berkata, pihaknya turut menyita tiga keping pasport yang terdapat pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) program Malaysia My Second Home (MM2H) yang disyaki palsu."Pas jangka panjang ini disyaki cuba digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Zakaria berkata, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.Beliau berkata, tangkapan itu merupakan tindakan susulan selepas JIM membongkar sindiket membekalkan pelbagai pas jangka panjang palsu dengan harga sehingga RM10,000 sekeping untuk dijadikan sokongan bagi tujuan permohonan visa ke AS pada Oktober tahun lepas.Sementara itu, 11 lagi warganegara China ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas penggajian di Lembah Klang pada Selasa lepas.Zakaria berkata, lima daripada mereka ditahan di empat premis runcit dan restoran di sekitar Dengkil, Selangor sementara enam lagi wanita yang bekerja sebagai tukang urut ditahan di sekitar Kepong di sini."Kesemua wanita ini juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi," katanya menambah seorang lelaki warga tempatan disyaki majikan dan penjaga premis tersebut turut ditahan dalam serbuan itu. - Bernama
Go to News Site