Collector
Tekong darat, laut ditahan seludup migran di perairan Pontian | Collector
Tekong darat, laut ditahan seludup migran di perairan Pontian
Sinar Harian

Tekong darat, laut ditahan seludup migran di perairan Pontian

PONTIAN – Kegiatan penyeludupan migran melalui laluan laut tumpas selepas polis menahan lima lelaki warga Indonesia dipercayai berperanan sebagai tekong darat, tekong laut serta penjaga rumah penampungan dalam operasi bersepadu di perairan Kukup di sini.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, tangkapan dibuat menerusi Ops Pintas Bersepadu/Op Taring Landai yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPM) Kukup.Menurutnya, operasi kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu berjaya menahan seorang lelaki Indonesia disyaki penjaga rumah penampungan, seorang tekong laut serta tiga migran warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan keluar masuk negara melalui jalan tidak diwartakan."Susulan itu, tangkapan kedua dilakukan pada Khamis jam 6 petang membabitkan seorang lelaki Indonesia disyaki tekong darat, seorang lagi tekong laut serta seorang pembantu penjaga rumah penampungan."Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 36 tahun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, polis turut merampas dua bot bersama enjin 15 kuasa kuda jenis Yamaha serta tiga telefon bimbit pelbagai jenis dengan anggaran nilai keseluruhan RM50,000."Hasil saringan air kencing mendapati lima daripada lelaki warga Indonesia itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya.Menurutnya, lima suspek yang berperanan sebagai tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan ditahan mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012, manakala tiga migran ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1957.Tambahnya lagi, kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.Hadzrat berkata, operasi berkenaan hasil kerjasama risikan selama dua minggu antara Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 yang memfokuskan kawasan berpotensi termasuk rumah sangkar ikan di perairan Kukup."Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran."Tindakan tegas akan diambil kerana kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.

Go to News Site