Collector
9 ahli geng samun bersenjata ditahan, barang kemas RM3.6 juta dirampas | Collector
9 ahli geng samun bersenjata ditahan, barang kemas RM3.6 juta dirampas
Sinar Harian

9 ahli geng samun bersenjata ditahan, barang kemas RM3.6 juta dirampas

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang menyasarkan jurujual barang kemas dengan menahan sembilan individu menerusi Op Jingga D Garden sekali gus menyelesaikan kes kerugian dianggarkan bernilai RM3.6 juta.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang dijalankan bermula 26 Mac hingga Khamis itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).Menurutnya, serbuan dilakukan di beberapa lokasi di daerah Barat Daya dan Timur Laut."Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di kawasan SPU."Turut dirampas barang kemas seberat kira-kira 4,300 gram, sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua buah kereta yang digunakan dalam kegiatan samun berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah menyasarkan jurujual yang membawa sejumlah barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urusan jual beli di kedai emas sekitar Pulau Pinang.Tambahnya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku pada 26 Mac lalu kira-kira jam 9.20 pagi di SPU."Kes tersebut melibatkan kerugian barang kemas seberat 6,023.69 gram dengan anggaran nilai semasa kira-kira RM3.6 juta."Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan," ujarnya.Menurutnya, mahkamah telah membenarkan reman terhadap lapan suspek yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan lanjut manakala seorang lagi suspek akan dipohon reman pada Jumaat.Dalam pada itu, Azizee berkata, semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah."Seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah dan empat rekod dadah, seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah serta satu rekod dadah manakala seorang lagi memiliki 17 rekod jenayah dan satu rekod dadah."Suspek lain pula didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine."Operasi masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas."Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Go to News Site