Collector
Jangan hanya jimat kos, tingkatkan produktiviti | Collector
Jangan hanya jimat kos, tingkatkan produktiviti
Sinar Harian

Jangan hanya jimat kos, tingkatkan produktiviti

APABILA mana-mana perniagaan menjangka ia akan menghadapi suasana yang sukar, perkara pertama yang biasanya akan terlintas di kepala usahawan ialah menjimatkan kos.Ini adalah satu pilihan yang logik dan tidak ada masalah sekiranya tindakan ini diambil dengan cepat.Namun, di dalam berniaga dan menjana keuntungan, kos hanyalah satu faktor sahaja.Malah sekiranya kos yang salah dipotong seperti kos pemasaran yang diperlukan untuk meningkatkan jualan, penjimatan kos boleh menyebabkan perniagaan ditolak ke belakang, kurang daya saing dan mungkin menjana keuntungan yang berkurangan pula.Di dalam suasana pasaran yang sukar, mudah bagi usahawan menyalahkan pasaran, bukannya tindakan menjimatkan kos yang salah bagi merasionalkan mengapa prestasi perniagaan lebih buruk dari sebelumnya.Namun, jika solusi yang salah dianggap sebagai ubat yang sempurna, masa hadapan perniagaan boleh tergadai.Satu lagi pendekatan di dalam menghadapi krisis ialah meningkatkan produktiviti.Definisi mudah yang dipakai di sini ialah menjana lebih banyak nilai dengan kos yang sama atau berkurangan.Apabila kita membincangkan berkenaan produktiviti, fokusnya ialah kepada pertambahan nilai seperti peningkatan kadar pengeluaran, peningkatan jualan atau pun mengekalkan jualan dengan menggunakan sumber yang jauh lebih kecil.Apabila kita fokus kepada produktiviti, kita akan terbuka kepada memperkenalkan idea-idea baharu dan mencabar amalan-amalan lama yang mungkin sudah tidak kena dengan keadaan semasa.Mungkin kerana ramai orang sudah selesa dengan peranan dan aktiviti mereka, tidak ada orang yang mahu mencabar "status quo" dan segala kelemahan yang ada sudah dianggap satu kebiasaan.Sudah tentu ini memerlukan keberanian dan iltizam yang kental terutamanya yang dipamerkan oleh usahawan dan juga pemilik perniagaan. Mereka dahulu yang kena berubah.Produktiviti juga boleh dicapai dengan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkepentingan seperti pembekal, pelanggan dan juga pihak yang menyelia industri.Sudah tentu kerjasama dengan pembekal dan pelanggan berpaksikan kepentingan komersil masing-masing dan perlu mencapai kedudukan menang-menang.Sebagai contoh, pelanggan bersetuju untuk mengekalkan pembelian pada harga yang tertentu di dalam tempoh yang agak panjang bagi membolehkan perniagaan kita menyusun semula rantaian bekalan dan kaedah pengeluaran agar apa-apa tambahan kos dari krisis yang ada boleh ditanggung secara sama rata.Peranan penyelia industri seperti kementerian atau agensi kerajaan pula ialah lebih kepada mengurangkan peraturan-peraturan yang lapuk atau pun yang tidak sesuai dengan keadaan semasa yang mencabar.Sekiranya pihak ini tidak mengiktiraf cabaran yang dihadapi oleh pemain-pemain pasaran dan tidak mahu berubah kerana boleh menambah beban kerja mereka, sukar juga kita sebagai sebuah negara mahu menangani cabaran-cabaran daripada perang Iran ini secara bersama.Malah barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dirangka semula agar ia bertepatan dengan kehendak pelanggan yang mungkin terjejas disebabkan kenaikan kos secara menyeluruh tetapi memerlukan barangan atau perkhidmatan kita, walaupun di dalam bentuk yang lebih realistik dengan harga yang sepadan.Di dalam krisis, banyak perkara yang dianggap tidak logik di masa aman boleh dipertimbangkan.Janganlah dibiarkan cabaran atau krisis yang ada berlalu tanpa dimanfaatkan. Manfaat di sini ialah di dalam bentuk menjadikan perniagaan menjadi lebih produktif, berdaya saing dan lebih lestari.Sudah tentu ini tidak akan dicapai dengan mudah namun sekiranya "platfom yang terbakar" tidak mendorong kita untuk berubah ke arah yang lebih hebat, apa lagi dorongan yang kita perlukan?*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Go to News Site