Collector
'BDR bukan baring, duduk rehat' - KSN | Collector
'BDR bukan baring, duduk rehat' -  KSN
Sinar Harian

'BDR bukan baring, duduk rehat' - KSN

SHAH ALAM - Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bakal bermula 15 April ini bukan tiket untuk penjawat awam mengambil mudah tanggungjawab, sebaliknya menuntut tahap disiplin dan produktiviti yang sama seperti bekerja di pejabat.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, BDR perlu dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan dengan pemantauan ketat oleh ketua jabatan."Jangan salah faham, BDR bukan bermaksud baring duduk rehat, juga bukan beli-belah di pasar raya."Output dan produktiviti mesti sama kerana pegawai yang melaksanakan BDR perlu mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) jelas dan ditetapkan lebih awal," katanya ketika menyampaikan Ucaptama Taat Setia Madani di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 di sini pada Jumaat.Shamsul Azri menjelaskan, dasar itu merupakan sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam yang menekankan pencapaian hasil kerja, bukan sekadar kehadiran fizikal.Dalam pada itu, beliau mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya terus berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara khususnya kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.Katanya, penjawat awam bukan sekadar melaksanakan tugas pentadbiran seperti memproses borang atau menandatangani dokumen, tetapi berperanan sebagai pelaksana hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat."Kesetiaan itu bukan hanya ditunjukkan ketika majlis rasmi, tetapi perlu diterapkan dalam setiap keputusan dan tindakan, sama ada di pejabat atau di lapangan" tambah beliau.Beliau turut menegaskan, kepentingan penjawat awam mematuhi dasar kerajaan tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi atau politik sempit.Menurutnya, kegagalan melaksanakan dasar bukan sekadar kelemahan pentadbiran, malah memberi kesan langsung kepada rakyat seperti bantuan tidak sampai, kemudahan tidak diselenggara dan keselamatan terjejas.Mengulas cabaran semasa, Shamsul Azri berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu memberi tekanan besar kepada negara, termasuk peningkatan kos subsidi minyak yang melonjak mendadak.Justeru, katanya, langkah penjimatan perlu dilaksanakan di semua peringkat termasuk pejabat kerajaan dengan mengurangkan pembaziran seperti penggunaan elektrik, penganjuran mesyuarat fizikal dan lawatan ke luar negara yang tidak perlu."Mesyuarat boleh dilaksanakan secara dalam talian dan penggunaan kemudahan perlu dioptimumkan kerana ia tanggungjawab bersama," ujar beliau.Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan rasmi Aidilfitri tahun ini mencerminkan semangat kesederhanaan dan solidariti terhadap golongan yang kurang bernasib baik termasuk rakyat di Gaza.Sementara itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya lebih berwaspada dalam penggunaan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.Katanya, penjawat awam perlu menjadi sumber rujukan yang tepat kepada masyarakat serta mematuhi undang-undang termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam dan akta berkaitan komunikasi serta rahsia rasmi."Dalam era media sosial, kita perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang benar dan bukan penyebar fitnah," katanya.

Go to News Site