Sinar Harian
KUALA NERUS - Kerajaan digesa mengetepikan perbezaan politik dengan mengadakan sidang khas Parlimen melibatkan semua wakil rakyat pembangkang bagi membincangkan langkah proaktif menangani ketidakstabilan ekonomi global yang semakin menghimpit rakyat.Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu penting bagi membolehkan semua pihak termasuk wakil rakyat pembangkang, menyumbang idea dan pandangan demi kepentingan negara."Kita cadangkan diadakan sidang khas Parlimen. Bincang di Parlimen, terima pandangan semua pihak. Sepatutnya Perdana Menteri buat begitu kerana kita berada dalam satu kapal. Bukan kerajaan sahaja yang rasa (kesan ekonomi), semua rakyat rasa."Sebab itu, perlu libatkan wakil rakyat dalam Parlimen. Perbezaan politik perlu diketepikan kerana isu ini harus dipikul bersama, kerajaan tidak boleh tanggung sendiri," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah duha sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, di sini pada Jumaat.Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu yang melabel pembangkang sebagai tidak kompeten, Abdul Hadi menyifatkan, kegagalan sebenar terletak di bahu kerajaan yang dilihat masih buntu menangani isu-isu kritikal."Yang lebih tidak berguna ialah kerajaan. Kerajaan tidak mampu menghadapi isu-isu semasa dan masih gagal. Isu pengangguran tidak diselesaikan sepenuhnya, malah masalah konsep federalisme juga tidak dihormati apabila negeri-negeri yang dimenangi pembangkang dipinggirkan."Itu bukan konsep federalisme dan tidak ikut Perlembagaan," tegas beliau.Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai krisis tenaga global yang dikaitkan dengan peperangan, sedangkan Malaysia mempunyai sumber sendiri dan peluang kerjasama serantau yang luas."Isu tenaga sekarang ini kerana perang, padahal Iran tidak menyekat kita. Mengapa kita turut sama terkesan sedangkan kita ada sumber minyak? Kita juga boleh bekerjasama dengan Indonesia yang merupakan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC)."Banyak perkara kita tidak lihat dari sudut kerjasama dan ini menyumbang kepada masalah inflasi sehingga rakyat terkesan," jelasnya.Mengulas mengenai perkembangan konflik di Asia Barat melibatkan Iran, Abdul Hadi menyelar keangkuhan pihak yang memulakan serangan sehingga menyebabkan ketegangan berpanjangan."Saya lihat kepada pihak yang menyerang. Siapa yang menyerang? Amerika dan Israel. Iran diserang. Pihak yang menyerang itu begitu angkuh dan tidak berhenti lagi."Ia akan berpanjangan kecuali sampai satu tahap mereka mengaku kalah, ataupun mereka kalah tetapi tidak mengaku," ujarnya lagi.Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan fasa pemulihan susulan tempias konflik di Asia Barat mungkin mengambil masa panjang.Beliau berkata, unjuran itu disokong dengan perkongsian beberapa pemimpin negara Teluk, Arab Saudi, Turkiye, Mesir, Indonesia serta Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.Sehubungan itu, katanya, rantaian bekalan global, terutama tenaga dari Malaysia pasti terjejas apabila ketegangan di Asia Barat berlarutan.
Go to News Site