Collector
BDR mampu jimat RM169 juta sebulan, RM2.03 bilion setahun - RimbaWatch | Collector
BDR mampu jimat RM169 juta sebulan, RM2.03 bilion setahun - RimbaWatch
Sinar Harian

BDR mampu jimat RM169 juta sebulan, RM2.03 bilion setahun - RimbaWatch

SHAH ALAM - Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) yang bakal bermula 15 April ini berpotensi menghasilkan penjimatan sebanyak RM169 juta sebulan atau RM2.03 bilion setahun sekiranya konflik di Asia Barat masih berterusan.Kajian daripada kumpulan alam sekitar, RimbaWatch memaklumkan inisiatif tersebut dijangka mengurangkan penggunaan petrol 4.51 juta liter sehari, atau 90.2 juta liter sebulan.Ia turut mengambil kira anggaran 4.08 juta pekerja di Lembah Klang dan andaian 50 peratus daripada jumlah berkenaan iaitu 2.04 juta orang, tidak akan berada di jalan raya."Seorang pekerja di Lembah Klang menggunakan kira-kira 2.2 liter petrol setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja."Jika 50 peratus daripada tenaga kerja BDR, ini akan mengurangkan penggunaan petrol sebanyak 4.51 juta liter sehari, bersamaan 90.2 juta liter sebulan."Dengan kadar subsidi semasa RM1.87 seliter, inisiatif berkenaan akan menghasilkan penjimatan sebanyak RM169 juta sebulan, atau RM2.03 bilion setahun sekiranya keadaan semasa berterusan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April depan sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.Menurut kumpulan itu, purata jarak perjalanan harian ulang-alik ke tempat kerja dianggarkan sebanyak 20 kilometer (km) dan penggunaan bahan api dalam kesesakan sekitar 0.11 liter per km."Perlu diingat bahawa anggaran ini hanya melibatkan Lembah Klang, yang merangkumi sekitar 23 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Malaysia."Pelaksanaan BDR seluruh negara berpotensi menjimatkan sehingga RM1 bilion sebulan, bergantung kepada peratusan pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah," ujarnya.Ujar kenyataan kumpulan tersebut, pelaksanaan BDR juga menyumbang kepada pengurangan sebanyak 70 peratus pencemaran udara di Lembah Klang, yang berpunca daripada kenderaan."Ia juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 10,400 tan sehari, 208,000 tan sebulan, atau 2.5 juta tan setahun."Pengguna di Lembah Klang juga menghabiskan kira-kira 580 jam setahun dalam kesesakan lalu lintas, dengan kos sekitar RM9,000 setahun untuk bahan api dan penyelenggaraan kenderaan," menurutnya.RimbaWatch turut menyarankan kerajaan melaksanakan langkah jangka panjang termasuk menyediakan peruntukan bajet bagi menyokong penggunaan pengangkutan awam secara meluas dan meningkatkan kemudahan berjalan kaki di kawasan bandar serta luar bandar."Peruntukan ini boleh digunakan untuk 15,000 bas elektrik, 30,000 km laluan berbumbung pejalan kaki, 60,000 km laluan basikal terlindung dan 720 set tren elektrik."Malaysia juga perlu merancang untuk menghentikan secara berperingkat loji janakuasa arang batu dan gas serta menggantikannya dengan kapasiti tenaga boleh diperbaharui," menurutnya.

Go to News Site