Sinar Harian
SIMPANG AMPAT – Tiga individu cedera dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Besar Permatang Tinggi di sini pada pagi Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan tiga motosikal dengan keseluruhan sembilan mangsa terlibat.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi dan tiba kira-kira 13 minit kemudian."Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa tersepit dalam kejadian tersebut."Anggota bomba yang bertugas menjalankan ‘size up’ dengan memakai peralatan perlindungan diri lengkap sebelum memberi rawatan awal kepada mangsa bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)."Mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke hospital oleh ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, daripada sembilan mangsa terlibat, tiga lelaki mengalami kecederaan manakala enam lagi dilaporkan selamat."Mangsa yang cedera adalah penunggang motosikal jenis Honda EX5 berusia 43 tahun, penunggang motosikal Yamaha LC135 berusia 21 tahun dan penunggang Yamaha Y15Z berusia 25 tahun."Sementara itu, mangsa lain termasuk pemandu Proton Saga (29 tahun), pemandu Perodua Myvi (38 tahun) serta seorang penumpang wanita warga emas (64 tahun) dilaporkan tidak mengalami kecederaan," ujarnya.Menurutnya, terdapat sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut namun telah meninggalkan lokasi sebelum ketibaan anggota penyelamat."Operasi yang melibatkan enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Bukit Mertajam itu tamat sepenuhnya pada jam 9 pagi."Turut terlibat dalam operasi adalah pihak polis dan KKM," katanya lagi.
Go to News Site