Sinar Harian
SHAH ALAM - Kebajikan balu dan tiga anak Amirul Hafiz Omar yang maut selepas motosikalnya dirempuh di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad lepas terbela selepas layak menerima Pencen Penakat sebanyak RM2,888.17 setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Amirul Hafiz, 33, yang bekerja di TVH Malaysia Sdn Bhd selama 15 tahun ialah pencarum aktif di bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)."Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan yang kini menjadi talian hayat buat balu dan tiga anaknya," katanya.Mohammed Azman berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan menyerahkan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 kepada balu Amirul Hafiz, Nor Nadia Abdul Majid, 32, di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 di sini pada Jumaat. Tiga anak Allahyarham ialah Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun.Mohammed Azman berkata, melalui manfaat Pencen Penakat, Nor Nadia layak menerima bayaran bulanan itu sepanjang hayat manakala anaknya menerima bantuan kewangan pendidikan hingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama."Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris. Caruman yang konsisten asas kepada perlindungan ini," katanya.Mohammed Azman menyeru majikan yang belum mendaftar agar segera mendaftarkan perusahaan dan mencarum pekerja di bawah LINDUNG Pekerja atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sebagai jaminan masa depan kerana malang tidak berbau.Beliau berkata, terdapat majikan yang tidak mencarum PERKESO secara konsisten untuk menjimatkan kos yang dikesan menerusi semakan rekod, sebelum pihaknya mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.Selain itu beliau berkata, aspek perlindungan sosial diperkukuh di sektor informal melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa pada 31 Mac."Akta baharu ini secara rasminya memberi perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO kepada lebih 1.64 juta pekerja sektor gig di Malaysia sekali gus menjamin pampasan dan kebajikan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan semasa bekerja," katanya.Amirul Hafiz maut selepas motosikalnya dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, jam 11.47 pagi pada Ahad lepas.Pada Rabu, seorang pembantu makmal R. Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz dan memasukkan dadah ke dalam badan. - Bernama
Go to News Site