Sinar Harian
LUMUT - Cubaan dua lelaki menyeludup daun ketum gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak di perairan Pulau Pangkor pada Khamis.Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum bot ronda digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Pangkor mendapati bot tersebut dikendalikan dua lelaki tempatan."Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 15 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dipercayai untuk edaran sekitar Pulau Pangkor," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, kedua-dua suspek termasuk tekong berusia 32 dan 46 tahun itu ditahan bersama bot serta barang rampasan seberat 75.3 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000.Katanya, semua suspek dan barang rampasan kemudian diiring ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut."Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan."Maritim Perak terus mempergiat rondaan serta memperkukuh risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara," katanya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Go to News Site