Collector
Judi disebalik pusat hiburan keluarga, e-sport digempur | Collector
Judi disebalik pusat hiburan keluarga, e-sport digempur
Sinar Harian

Judi disebalik pusat hiburan keluarga, e-sport digempur

KUALA LUMPUR - Kegiatan perjudian yang berselindung di sebalik lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan Pusat Hiburan Interaktif (PHI) digempur polis baru-baru ini.Serbuan Op Dadu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Kontinjen Selangor serta Sabah pada Rabu serta Khamis.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 13 premis perniagaan iaitu lapan di Seri Kembangan dan Klang, Selangor, manakala lima premis di Kota Kinabalu, Tawau serta Sandakan, Sabah.Menurutnya, dalam operasi ini seramai 52 penjaga premis dan pemain perjudian terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing ditahan dalam serbuan di Selangor, manakala 11 lagi penjaga dan pemain ditahan di Sabah."Kesemua yang ditahan dalam operasi di kedua-dua negeri terbabit berusia antara 20 hingga 75 tahun."Selain itu, pihak polis turut merampas tablet, peralatan komputer, mesin perjudian serta wang tunai dalam kesemua serbuan yang dibuat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Katanya, modus operandi sindiket ialah menjalankan aktiviti perjudian di premis perniagaan dengan berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sport.Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tindakan total enforcement akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram bagi menjamin kesejahteraan sosial rakyat Malaysia dengan kolaborasi bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan."Orang ramai diseru untuk konsisten menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa," ujarnya.Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c), Seksyen 6(1) akta yang sama, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

Go to News Site