Collector
Peguam Negara pertahan tuduhan bunuh kes Amirul Hafiz | Collector
Peguam Negara pertahan tuduhan bunuh kes Amirul Hafiz
Sinar Harian

Peguam Negara pertahan tuduhan bunuh kes Amirul Hafiz

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengingatkan pengkritik mengenai peranannya sebagai penjaga kepentingan awam.Teguran itu dibuat berikutan ramai pihak, termasuk peguam, yang mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan pertuduhan bunuh berhubung kematian penunggang motosikal, Amirul Hafiz Omar, 33.Memetik laporan Malaysiakini, Mohd Dusuki menegaskan bahawa pihaknya telah memberi pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan untuk merangka pertuduhan bunuh terhadap R Saktygaanapathy, 28, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."Saya mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama."Kematian itu amat tragik, mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam."Keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan saksi di lokasi kejadian mengesahkan perlakuan tertuduh."Setiap kes mesti diteliti secara berasingan kerana berbeza dari segi fakta dan keadaan. Dengan kata lain, dinilai kes demi kes."Jika terdapat elemen yang mencukupi, kami akan mengemukakan pertuduhan sewajarnya," katanya pada Jumaat.Jelas beliau, tindakan tertuduh didakwa sengaja memasuki laluan bertentangan pada kelajuan tinggi, sekali gus mewujudkan keadaan yang ‘amat berbahaya serta-merta’ kepada si mati, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.Undang-undang berkenaan terpakai apabila seseorang melakukan perbuatan dengan mengetahui bahawa ia begitu berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian.Pada Khamis, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keputusan AGC mendakwa Saktygaanapathy atas kesalahan bunuh tidak bermakna tertuduh akan dilepaskan jika pihak pendakwaan gagal membuktikan niat.Katanya, walaupun pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan, undang-undang membenarkan pertuduhan lain dikenakan pada akhir kes pendakwaan.Namun, dua lagi peguam berhujah bahawa pihak pendakwaan silap kerana meneruskan pertuduhan bunuh sejak awal.Sementara itu, Pengasas Bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya menegaskan pertuduhan yang tepat perlu ditentukan dari awal dan bukan dibiarkan sehingga penghujung kes pendakwaan.Seorang lagi peguam, Eric Paulsen turut senada dengan Latheefa.Beliau berkata, memang wujud kemungkinan untuk menggunakan peruntukan Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan, namun mentafsir tindakan tertuduh yang memasuki laluan bertentangan dengan cara tersebut berkemungkinan sukar untuk berjaya.Menjawab persoalan mengapa Saktygaanapathy tidak didakwa serentak atas kesalahan bunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol, Mohamed Haniff berkata, perkara itu tidak dibenarkan dari segi undang-undang.Jelasnya, kedua-dua pertuduhan bunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kes ini berkaitan dengan punca kematian.Oleh itu, katanya, satu-satunya pilihan lain ialah menjadikan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sebagai pertuduhan alternatif kepada bunuh.Menurutnya, apabila wujud pertuduhan alternatif, tertuduh boleh mengaku bersalah sama ada terhadap kesalahan utama atau alternatif, sekali gus memberi peluang untuk mengelakkan hukuman yang lebih berat.

Go to News Site