Sinar Harian
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) digesa supaya tidak terus membisu sebaliknya perlu tampil mempertahankan diri susulan pertikaian yang dibuat wartawan penyiasatan antarabangsa, Romain Molina.Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tindakan mendiamkan diri hanya memburukkan keadaan serta menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kredibiliti dua badan induk bola sepak negara itu.Menurut beliau, penglibatan wartawan berprofil tinggi seperti Molina menunjukkan isu yang berlaku dalam landskap bola sepak Malaysia bukanlah sesuatu yang remeh."Kita sebenarnya perlu pandang serius perkara ini. Apabila ia sudah sampai diperkatakan oleh wartawan di peringkat antarabangsa, itu tandanya ia satu isu yang besar."Jika isu tidak besar, tidak mungkin wartawan antarabangsa mahu sibuk mengambil tahu mengenai Malaysia. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena."Kita tahu Molina adalah seorang wartawan penyiasat yang disegani. Mungkin beliau mempunyai rangkaian dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) atau mendapat maklumat terus daripada badan induk dunia itu untuk mempersoalkan perkara ini," katanya kepada Sukan Sinar.Sebelum ini, Molina menerusi hantaran di media sosial mempertikaikan ketiadaan tindakan tegas daripada FAM dan MFL di peringkat domestik berhubung isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain yang sebelum ini telah pun dikenakan hukuman oleh FIFA.Malah, wartawan berkenaan turut memberi bayangan akan mengeluarkan artikel lebih terperinci mengenai krisis dan kemelut yang sedang melanda bola sepak Malaysia dalam masa terdekat.Mengulas lanjut, Pekan menyifatkan sikap mengunci mulut yang diambil FAM dan MFL ketika ini seolah-olah memberi gambaran bahawa badan induk itu tidak mempunyai jawapan terhadap dakwaan yang dibangkitkan."Dalam etika kewartawanan, ada dua kemungkinan mengapa mereka diam. Pertama, mungkin mereka rasa tidak perlu melayan apa yang dibongkar. Namun yang kedua, mungkin memang kita sudah bersalah dan tiada jawapan untuk mempertahankan diri."Mungkin mereka berharap isu ini akan reda atau 'cool down' dengan sendirinya, tetapi implikasinya sangat besar kepada imej liga dan bola sepak kita di peringkat antarabangsa," tegasnya.Tambah beliau lagi, kegagalan FAM dan MFL untuk bertindak selari dengan ketetapan badan induk dunia itu boleh menyebabkan kewibawaan pengurusan bola sepak negara dipersoalkan."Perkara ini bukan sahaja dipersoalkan oleh Molina, tetapi juga oleh netizen dan peminat bola sepak tempatan. Saya nampak Molina mempunyai maklumat yang cukup lengkap, jadi FAM atau MFL seharusnya cuba menjawab apa yang dipersoalkan olehnya," ujarnya.
Go to News Site