Sinar Harian
KOTA BHARU – Seorang peniaga gas memasak kerugian kira-kira RM50,000 selepas wang tunai hasil perniagaannya hangus dalam kebakaran yang membabitkan lapan rumah di Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini pada Jumaat.Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.45 malam itu, Syawal Anuar Ariffin, 40, bersama isteri dan anak-anak keluar bersiar-siar pada hujung minggu sebelum dihubungi sepupunya yang memaklumkan kejadian itu.Menurut Syawal Anuar, dia menyimpan wang perniagaan termasuk modal pusingan dalam almari serta di bawah tilam di rumah pusaka ibu bapanya itu."Rasa lemah apabila sampai dan lihat api marak serta tak dapat berbuat apa-apa."Duit berniaga sekitar RM50,000, habis semuanya. Sepatutnya bercadang nak bayar hutang gas keesokan hari, tapi semuanya hangus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.Syawal Anuar yang sudah 16 tahun berniaga gas berkata, kebakaran rumah berkenaan menyebabkan tong gas yang disimpan di bahagian bawah rumah jiran yang terletak bersebelahan rumahnya turut terbakar dan meletup."Kesemua kira-kira 30 tong gas yang tidak berisi ini musnah dalam kebakaran."Mercun yang turut meletup semasa kejadian itu pula bukan untuk dijual, tetapi baki yang tidak habis digunakan semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini," katanya.Beliau menambah, kebakaran berlaku terlalu cepat sehingga tiada peluang untuk menyelamatkan harta benda.Sementara itu, jirannya yang juga pengawal keselamatan, Mohd Faizul Mohd Nor, 40, berkata, dia yang bertugas di sebuah sekolah tidak jauh dari rumah bergegas pulang selepas mengetahui kejadian melalui kumpulan WhatsApp."Masa sampai, saya nampak api sedang membakar dua rumah sebelum merebak dengan cepat dari satu rumah ke satu rumah lain hingga yang kelapan."Bunyi letupan kuat tong gas lebih lima kali dan bomba yang tiba memadam api serta sempat menyelamatkan rumah keluarga saya daripada hangus walaupun terletak hanya bersebelahan dengan rumah terbakar," katanya.Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Go to News Site