Sinar Harian
SHAH ALAM - Tiga penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Setia Alam, di sini yang digempur pihak berkuasa berdepan tindakan perobohan.Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ketiga-tiga lokasi itu melibatkan kawasan kelapa sawit selain rumah kongsi dengan keluasan kira-kira 0.8 hektar.Menurutnya, salah satu lokasi penempatan haram itu pernah diserbu sebelum ini."Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengenal pasti pemilik tanah terbabit."Pemilik tanah boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bersengkokol dalam membiarkan penempatan PATI itu."Jadi, kita akan meminta supaya perobohan dibuat bagi memutuskan rantaian tempat tinggal mereka agar lokasi itu tidak terus dihuni warga asing yang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan di sini pada Sabtu.Serbuan bermula kira-kira jam 11.50 malam, Jumaat itu dilaksanakan JIM Selangor dengan dibantu JIM Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selain Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MBSA.Op Bersepadu Mega itu menahan 214 disyaki PATI membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.Tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka.Tegas Khairrul Aminus, warga asing terbabit seharusnya merebut peluang Program Represtasi Migran yang akan berakhir bulan ini berbanding terus menetap secara haram di dalam dalam negara ini.Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan MBSA, Zakaria Mat Piah berkata, rumah kongsi itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihaknya.Kata Zakaria, pihaknya akan menyemak status pemilikan tanah dan kelulusan sebarang pembinaan di kawasan terlibat."Kita akan tengok dahulu siapa punya (tanah). Sekiranya juga tiada kelulusan (sebarang pembinaan), memang boleh diambil tindakan di bawah peraturan-peraturan MBSA termasuk perobohan binaan dan pemilik tanah boleh dikenakan kompaun," katanya.
Go to News Site