Sinar Harian
SHAH ALAM – Sangkaan ‘perkampungan’ haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina di kawasan berbukit di ladang kelapa sawit, kononnya kebal daripada serbuan pihak berkuasa, meleset selepas lokasi di Setia Alam di sini digempur.Operasi Bersepadu Mega itu dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan dibantu JIM Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).Serbuan bermula kira-kira jam 11.50 malam Jumaat itu menyaksikan pasukan penguat kuasa terpaksa mendaki kira-kira 400 meter.Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati satu penempatan dilengkapi dengan surau dan kedai runcit, selain bekalan barangan kawalan seperti tong gas dan diesel.Rata-rata kediaman pula mempunyai motosikal dan kereta pelbagai jenama yang diparkir, seolah-olah perkampungan yang telah lama dibina.Malah, dikesan terdapat beberapa sangkar ayam yang disyaki digunakan untuk aktiviti sabung ayam, selain laluan di sekitar kawasan yang dijadikan akses untuk melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.Selain itu, dua lagi penempatan PATI yang dilengkapi dengan akses bekalan elektrik dan air di kawasan ladang berhampiran turut digempur.Serbuan turut berdepan cabaran apabila terdapat cubaan warga asing melarikan diri ke kawasan belukar dan bersembunyi, selain anggota operasi berdepan ancaman binatang berbisa.Sebahagian warga asing terbabit juga telah beranak-pinak sepanjang menetap di penempatan tersebut.Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, dipercayai tiga penempatan terbabit telah wujud antara lima hingga sembilan tahun lalu.Beliau mendedahkan, JIM telah memeriksa 356 warga asing sepanjang operasi tersebut."Hasilnya, seramai 214 individu disyaki PATI ditahan, membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia antara satu bulan hingga 80 tahun."Semakan awal mendapati tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka," katanya kepada pemberita selepas serbuan di sini pada Sabtu.Tambah beliau, rata-rata warga asing terbabit bekerja sebagai buruh dan pekerja pembersihan di sekitar Setia Alam.Menurutnya, JIM tidak menolak kemungkinan tiga penempatan itu masing-masing ‘dijaga’ individu yang berperanan sebagai ketua bagi mengutip sewa bulanan.Jelasnya, antara kesalahan dikenal pasti ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.Tegas beliau, kesemua tangkapan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan reman dan siasatan lanjut.Sementara itu, penduduk tempatan yang menetap di apartmen berhampiran turut mengakui kewujudan perkampungan di lokasi tersebut."Pada waktu malam, kami dapat melihat banyak lampu di dalam ladang sawit itu."Kadang-kala mereka berkaraoke. Pada waktu siang pula, kelihatan ramai keluar dari ladang memandu kenderaan sehingga hampir melanggar kami, penduduk sah di sini," ujarnya.
Go to News Site