Sinar Harian
SHAH ALAM – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendedahkan pengusaha stesen minyak kini terpaksa memikul beban kewangan yang berat sehingga menjadi ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada sistem subsidi diesel negara.Isu tersebut dibangkitkan susulan aduan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) yang terkesan dengan mekanisme pembayaran modal tunai bagi pembelian bekalan diesel yang dianggap tidak adil.Presiden DPMM yang juga Pengerusi MTEM, Norsyahrin Hamidon berkata, walaupun transaksi jualan di pam berlaku secara digital, bayaran sebenar termasuk komponen subsidi hanya diterima secara tertunda, iaitu pada kadar T+1 atau lebih lama."Ini bermakna pengusaha perlu menanggung jurang masa antara jualan dan penerimaan tunai, sekali gus mengunci modal kerja dalam sistem."Dalam keadaan harga tinggi dan volum besar, kelewatan ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit pada satu-satu masa, seterusnya meningkatkan kebergantungan kepada pembiayaan jangka pendek serta kos kewangan tambahan," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.Menurut Norsyahrin, di bawah skim subsidi bersasar, pengusaha perlu membeli bahan api pada harga pasaran penuh iaitu sekitar RM6.02 seliter, namun menjualnya pada harga subsidi RM2.15 seliter.Beliau menjelaskan bahawa perbezaan harga tersebut tidak dibayar terus kepada pengusaha, sebaliknya dituntut oleh syarikat minyak daripada kerajaan, menyebabkan pengusaha terpaksa mendahulukan modal sendiri."Dengan anggaran jualan 20,000 liter sehari dan keperluan stok minimum tiga hari, pengusaha perlu menyediakan sekitar RM361,200 bagi mengekalkan stok operasi."Pada masa yang sama, jurang subsidi sebanyak RM3.87 seliter menyebabkan pengusaha terpaksa mendahulukan modal sendiri kira-kira RM77,400 sehari," jelasnya.Secara keseluruhan, pendedahan modal operasi boleh mencecah hampir RM440,000, yang secara efektif menjadikan pengusaha sebagai pembiaya kepada sistem subsidi negara.DPMM dan MTEM menegaskan bahawa peranan pengusaha stesen minyak sebagai pengedar terakhir adalah kritikal, namun struktur mekanisme pembelian dan pembayaran semula modal mereka perlu diperbetulkan dengan segera.Pihaknya menggesa kementerian berkaitan agar menyelesaikan kemelut ini bagi memastikan tiada kelompok yang teraniaya akibat kelemahan sistem sedia ada.
Go to News Site