Sinar Harian
SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyarankan masyarakat menyalurkan maklumat lebih awal sekiranya mengesan sebarang aktiviti atau kehadiran warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, maklumat awal yang tepat dan berterusan amat penting bagi membolehkan pihak jabatan menjalankan risikan secara menyeluruh serta merancang tindakan penguatkuasaan yang lebih tersusun dan berimpak.Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja membantu memastikan setiap operasi dilaksanakan secara terancang, malah turut meningkatkan keberkesanan serbuan dengan hasil yang lebih optimum, tepat sasaran serta berintegriti."JIM amat menghargai peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan imigresen negara."Maklumat yang disalurkan secara terus kepada jabatan akan mempercepatkan proses pengesahan, mengurangkan ruang kebocoran maklumat serta memastikan tindakan dapat diambil dengan segera dan berkesan," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi JIM iaitu Talian Aduan PATI 03-8880 1374, emel aduanpati_hq@imi.gov.my atau Portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://imi.spab.gov.my.Jelas Zakaria, pihaknya memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya."Setiap maklumat yang diterima akan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," ujarnya.Tegas beliau, JIM kekal komited dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen terus diperkukuh demi menjaga keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara."Kerjasama berterusan daripada masyarakat merupakan tunjang utama kepada kejayaan usaha ini," ujarnya.
Go to News Site