Sinar Harian
KOTA KINABALU – Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan sebarang rumusan awal berdasarkan keterangan saksi, termasuk pakar psikiatri, Dr Chua Sze Hung, adalah tidak wajar dan berisiko mengelirukan persepsi awam terhadap prosiding inkues yang sedang berjalan di Mahkamah Koroner.Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, pasukan tersebut mengambil maklum mengenai liputan media dan perbincangan di media sosial berhubung keterangan Sze Hung selaku saksi ke-67 serta laporan psikiatri autopsi yang dikemukakan dalam prosiding inkues itu.Menurutnya, adalah penting untuk ditegaskan bahawa Mahkamah Koroner merupakan pihak yang diberi bidang kuasa untuk menilai keseluruhan keterangan dan menentukan dapatan berdasarkan semua bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues ini."Keterangan mana-mana saksi, termasuk saksi pakar, serta laporan yang dikemukakan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan keterangan yang masih belum selesai dibentangkan dan diuji sepenuhnya di hadapan mahkamah."Sehubungan itu, sebarang rumusan atau kesimpulan awal yang dibuat berdasarkan keterangan setakat ini adalah tidak wajar dan berisiko mengelirukan persepsi awam terhadap prosiding yang sedang berjalan."Selain itu, adalah penting untuk dinyatakan bahawa sebarang dokumen yang dirujuk dalam laporan tersebut, termasuk catatan peribadi seperti diari, bukanlah bukti yang konklusif dan masih tertakluk kepada pengesahan melalui keterangan pakar forensik."Kesahihan, pemilikan serta konteks kandungan dokumen tersebut perlu ditentukan melalui proses pembuktian yang ketat di mahkamah," katanya.Menurut kenyataan itu lagi, pada masa sama, masih terdapat saksi lain, termasuk saksi watak berhubung Allahyarham Zara Qairina, yang belum dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan mahkamah."Pasukan kami juga akan memanggil saksi pakar psikiatri bagi membantu mahkamah menilai isu-isu berkaitan secara lebih menyeluruh dan seimbang berdasarkan keseluruhan bukti yang akan dikemukakan," katanya.Susulan itu, orang awam diminta untuk lebih berhemah dalam memberikan sebarang komen atau pandangan di ruang awam, termasuk di media sosial."Hal ini kerana dalam perkembangan semasa, terdapat beberapa kes di mana kenyataan atau komen di ruang awam telah membawa kepada tindakan undang-undang, termasuk siasatan dan pendakwaan."Sebahagian kes telah mengakibatkan sabitan di mahkamah dengan denda serta hukuman berat, manakala sebahagian lagi masih dalam peringkat siasatan atau prosiding."Oleh itu, orang awam diingatkan agar lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang ulasan, khususnya apabila melibatkan perkara yang sedang dalam prosiding mahkamah, bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang yang tidak diingini," katanya.Dalam kenyataan sama, pasukan peguam turut berkata, adalah wajar untuk diingat bahawa ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, merupakan pihak yang telah mengambil langkah untuk mendapatkan keadilan melalui prosiding inkues ini."Beliau kini mengikuti setiap perkembangan dengan penuh ketabahan demi memastikan kebenaran dapat ditentukan oleh mahkamah."Kami menegaskan bahawa sebarang komen yang bersifat spekulatif, tidak sensitif atau tidak berasas adalah tidak wajar dan boleh menambahkan lagi beban emosi yang sedang ditanggung oleh keluarga Allahyarham Zara."Semua pihak diseru untuk menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham Zara dalam tempoh ini," katanya.Sebelum itu, pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Go to News Site